100,000 penduduk Armenia larikan diri dari Nagorno-Karabakh

KORNIDZOR: Pelarian dari Nagorno-Karabakh, semakin berkurangan pada hari ini, apabila hampir keseluruhan penduduk wilayah Armenia melarikan diri sejak Azerbaijan merampas kembali kawalan.
Seorang wartawan AFP di Kornidzor yang menyeberang ke Armenia, melihat beberapa ambulans ketika penduduk sedang menunggu beberapa bas terakhir.
Di bandar terdekat Goris, ratusan pelarian yang keletihan menunggu kerajaan menawarkan bantuan penginapan.
Pengambilalihan tentera Azerbaijan ke atas etnik Armenia minggu lalu mencetuskan penghijrahan secara tiba-tiba.
Menurut Armenia, lebih 100,000 orang daripada 120,000 anggaran penduduk dikesan melarikan diri sejak wilayah yang memisahkan menyaksikan perjuangan berdekad lamanya menentang pemerintahan Azerbaijan namun berakhir dengan kekalahan mengejut.
Bekas pegawai pemisah, Artak Beglaryan, berkata menurut maklumat tidak rasmi, kumpulan terakhir penduduk Nagorno-Karabakh sedang dalam perjalanan ke Armenia, hari ini.
“Hanya beberapa ratus individu yang kekal kebanyakannya adalah pegawai, pekerja perkhidmatan kecemasan, sukarelawan, dan beberapa orang berkeperluan khas,” tulisnya di media sosial.
Yerevan menuduh Azerbaijan menjalankan kempen pembersihan etnik untuk membersihkan Nagorno-Karabakh daripada populasi Armenia.
Baku bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan secara terbuka menggesa penduduk Armenia di wilayah itu untuk tinggal dan berintegrasi semula ke Azerbaijan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ia akan menghantar misi ke Nagorno-Karabakh hujung minggu ini, terutamanya untuk menilai keperluan bantuan kemanusiaan, selepas kali pertama badan antarabangsa itu mendapat akses ke rantau itu dalam kira-kira 30 tahun.
Armenia meminta mahkamah tertinggi PBB untuk mengambil langkah segera bagi melindungi penduduk etnik itu.
Yerevan menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk memastikan Azerbaijan tidak bergerak bagi menggantikan baki etnik Armenia di Nagorno-Karabakh. – AFP