#kitajagakitaBerita-MalaysiaMalaysia

Lebih banyak LiSA akan dipasang di Johor

KOTA TINGGI: Peti peralatan keselamatan Life Saving Appliances (LiSA) akan dipasang lebih banyak di negeri ini khususnya di kawasan pantai dalam usaha untuk membendung kes lemas yang berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, setakat ini terdapat tiga unit LiSA telah dipasang di Johor dan pemasangan itu termasuklah di Pantai Awam Desaru, Pantai Batu Layar juga Gunung Ledang Resort di Tangkak.

Menurutnya, dijangka satu lagi unit LiSA akan ditempatkan di Pantai Tanjung Balau sebelum hujung tahun ini.

“Peti keselamatan LiSA ini membawa kebaikan buat orang awam dan perlu ditambah lagi terutama di semua kawasan pantai.

“Mungkin dalam permohonan belanjawan akan datang, kerajaan negeri akan memperuntukkan bagi menambahkannya lagi,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air Peringkat Negeri Johor di Pantai Awam Tanjung Balau, di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata, peti keselamatan LiSA mempunyai beberapa peralatan seperti jaket keselamatan, peti pertolongan cemas dan tali yang boleh digunakan orang awam untuk bantuan awal menyelamat mangsa.

Katanya, peti berkenaan juga dilengkapi siren amaran kepada pengunjung dan memberikan notifikasi kepada balai berdekatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak tahun 2021 hingga September tahun ini, sebanyak 276 kes operasi menyelamat mangsa lemas dengan 110 daripadanya maut dan 13 cedera telah direkodkan di Johor.

Menurutnya, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor juga telah mengesan sebanyak 432 lokasi hot spot banjir sekali gus menekankan kepentingan pemasangan LiSA itu yang boleh digunakan ketika waktu kecemasan.

“Kita mengharapkan agar, Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air anjuran JBPM Johor dengan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara ini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga keselamatan bagi mencegah insiden lemas berlaku,” katanya lagi.

Turut hadir Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman dan Pengarah JBPM Johor Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir. – UTUSAN

Source
Utusan Malaysia
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close