MalaysiaSetempat

Pengundian PRK Pelangai ditutup, proses pengiraan bermula

PENGUNDI Orang Asli (dari kiri) Nor Hazila Lajin, Ayura, Normanila dan Normanila menunjukkan jari yang ditanda dengan dakwat kekal selepas mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (Felda) Kemasul di Bentong, Pahang, hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

BENTONG: Semua sembilan pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang dibuka sejak pukul 8 pagi ini ditutup pada pukul 6 petang.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi dibawa pusat penjumlahan rasmi undi dan keputusan rasmi diumum oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewat-lewatnya pukul 9 malam ini.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yang dicabar calon Perikatan Nasional, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Dianggarkan 16,383 pengundi atau 69 peratus keluar mengundi telah menjalankan tanggungjawab dalam PRK DUN Pelangai pada hari ini bagi memilih seorang wakil rakyat yang baharu.

Hanya seorang daripada tiga calon yang mempertaruhkan nasib akan terpilih bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu. – UTUSAN

Source
Utusan Malaysia
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close