MalaysiaPolitic

BN berjaya gempur naratif fitnah – Anwar

PUTRAJAYA: Kemenangan Barisan Nasional (BN) mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) menjadi bukti kesinambungan kecemerlangan Kerajaan Perpaduan mendobrak (menggempur) naratif fitnah dan perkauman sempit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu juga menunjukkan hasil kesepaduan rakan dalam Kerajaan Perpaduan selepas PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Ia juga meniup semangat kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara, demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka ekonomi MADANI,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Semalam, BN menerusi calonnya, Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

Amizar menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 undi berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Anwar merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengundi yang terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Tahniah kepada Datuk Amizar Abu Adam yang memenangi PRK Dewan Undangan DUN Pelangai.

“Sekalung penghargaan juga kepada barisan jentera yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Seri Johari Harun menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

PRK berkenaan diadakan selepas kerusi kawasan itu diisytihar kosong susulan kematian Johari yang terbabit nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Ogos lalu.

Anwar bersama Amizar semasa kempen PRK DUN Pelangai. - Foto BH/EIZAIRI SHAMSUDIN
Anwar bersama Amizar semasa kempen PRK DUN Pelangai. – Foto BH/EIZAIRI SHAMSUDIN

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close