
PETALING JAYA: Polis menahan sembilan individu terdiri daripada lapan warga asing dan seorang warganegara tempatan disyaki ahli sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto dalam serbuan ke atas dua kondominium sekitar Salak Selatan, Cheras di sini, semalam.
Penahanan itu melibatkan tujuh lelaki warga China, seorang wanita Taiwan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 23 tahun hingga 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, siasatan mendapati ahli sindiket terbabit menerima komisen antara RM4,000 hingga RM8,000 setiap bulan.
“Siasatan awal mendapati premis itu digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan mata wang kripto secara dalam talian.
“Sindiket ini menyasarkan mangsa dari Taiwan dan Hong Kong dipercayai mula beroperasi sejak 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, pasukan serbuan merampas sembilan komputer riba, telefon bimbit (11), modem (dua) dan router (dua).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 120(B) / 420 /511 Kanun Keseksaan.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui Hotline Polis Cheras di 039284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur, 0321159999 atau mana-mana balai berhampiran,”jelasnya. – UTUSAN