Brunei hukum 5 warga asing langgar peraturan imigresen

BANDAR SERI BEGAWAN: Lima warga asing di Brunei dihukum atas kesalahan melanggar peraturan imigresen, menurut Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (INRD) Brunei Darussalam.

INRD memaklumkan, mereka termasuk seorang lelaki Filipina berusia 64 tahun yang dihukum penjara sembilan bulan dan denda 800 dolar Brunei (AS$590) sebagai ganti hukuman sebat kerana tinggal melebihi tempoh.

Bagaimanapun, lelaki itu gagal membayar denda berkenaan menyebabkan hukuman penjaranya dilanjutkan kepada 10 bulan, lapor Xinhua yang memetik laporan akhbar harian tempatan Borneo Bulletin, semalam.

Seorang lelaki warga India berusia 60 tahun pula dihukum penjara enam bulan juga kerana tinggal melebihi tempoh.

Dalam kes lain, tiga warga Indonesia ditangkap dan dihukum penjara membabitkan seorang lelaki berumur 50 tahun yang menerima hukuman akhir enam bulan penjara, manakala dua lagi dihukum penjara dua tahun serta tiga sebatan kerana bersubahat membantunya meninggalkan negara secara haram. – BERNAMA-XINHUA