Universiti ‘tolak’ pelajar pintar kerana sejarah dera kucing

Beijing: Seorang lelaki yang memiliki tahap IQ tinggi ditolak oleh Universiti Nanjing di wilayah timur Jiangsu, kerana sejarah kekejamannya yang melampau terhadap kucing, lapor South China Morning Post.

Lelaki dikenali sebagai Xu itu, mencapai markah tertinggi dalam ujian kemasukan untuk mengikuti jurusan fizik nuklear di Sekolah Fizik di universiti itu.

Keputusan ujian kemasukan yang dikeluarkan oleh universiti itu pada akhir Mac lalu mendedahkan bahawa dia tidak lulus ujian kedua.

Pihak universiti tidak menjelaskan mengapa Xu gagal, tetapi seorang pegawai berkata, mereka menerima banyak aduan mengenai lelaki itu yang suka mendera kucing.

Mengikut garis panduan kemasukan universiti, kelayakan moral dan politik pemohon diambil kira dan ia mungkin tidak memberikan kemasukan kepada mereka yang gagal memenuhi kriteria berkenaan.

“Pihak universiti memberi perhatian yang tinggi terhadap insiden penderaan kucing. Tingkah lakunya mungkin menjejaskan keputusan kemasukan,” kata pegawai itu.

Pada awal Mac, Xu, pelajar di Universiti Tenggara di Nanjing, didedahkan di media sosial kerana memuat naik beberapa siri video dalam talian menunjukkan dia mendera dan membunuh kucing di asramanya.

Dalam satu klip, pelajar itu dilihat memasukkan seekor kucing ke dalam baldi dan memijak kepala haiwan itu berulang kali.

Selepas kekejamannya tular dalam talian, polis Nanjing menyiasat perkara itu. Bagaimanapun, lelaki itu dikenakan sebarang hukuman.

“Xu berkata dia mengakui kesilapannya. Dia menulis surat permohonan maaf, berjanji tidak akan melakukannya lagi,” kata satu kenyataan polis.

Selepas ditolak oleh Universiti Nanjing, Xu memohon untuk ke sekolah tinggi lain, Universiti Lanzhou di barat laut China, dan ditawarkan temu duga secara bersemuka.

Source :