Budak genius masuk universiti pada usia 12 tahun

Suborno Bari pernah dijemput untuk memberi syarahan sebagai profesor jemputan fizik di Universiti Mumbai. FOTO Agensi

New York: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Suborno Bari bersedia menjadi pelajar termuda yang pernah menamatkan pengajian dari Sekolah Tinggi Malverne di Long Island.

Memetik laporan NDTV, Bari bakal menerima diplomanya pada 26 Jun sebelum melanjutkan pengajiannya di Universiti New York (NYU) pada musim luruh.

Bari, yang sudah mengarang dua buku dan mengajar di kolej di India berkata, pencapaian itu benar-benar membanggakan dirinya.

Dia mendapat perhatian global apabila mencipta rekod dunia dengan skor SAT sempurna iaitu 1500 pada usia 11 tahun, lapor ABC7.

Dia digelar sebagai profesor termuda di dunia dan dijemput untuk memberi syarahan sebagai profesor jemputan fizik di Universiti Mumbai.

Keghairahannya terhadap matematik dan fizik melayakkan dirinya mendapat biasiswa penuh di NYU, di mana dia berhasrat untuk mengejar impiannya menjadi seorang profesor dan membantu orang lain memahami matematik dan sains.

Kebolehan akademik Bari yang luar biasa membolehkannya melangkau dari gred 4 ke gred 8 dan kemudian dari gred 9 ke gred 12, yang membantunya menamatkan sekolah dengan cepat.

“Saya mempunyai rasa ingin tahu yang mendalam untuk setiap mata pelajaran, sama ada matematik, sains atau sejarah,” katanya.

Mengimbas pengalaman sekolah menengahnya, Bari berkongsi bahawa walaupun dia jauh lebih muda daripada rakan sekelas, dia mendapati sokongan kedua-dua iaitu daripada fakulti dan kebanyakan pelajar adalah menggalakkan.

Ibunya, Shaheda Bari, berbangga dengan perjalanan unik anaknya, sambil menyatakan bahawa keazaman dan kebolehan luar biasa membezakan kanak-kanak itu daripada rakan sebaya.

“Dia tidak seperti kanak-kanak lain. Dia sentiasa selangkah ke hadapan,” katanya.

Guru-guru Bari memujinya sebagai seorang yang menonjol.

Menurut Guru Kimia, Patrick Nolan, kelebihan Bari itu adalah kes yang benar-benar unik.

Pada usia empat tahun, dia diiktiraf oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan dipuji atas pencapaiannya dalam matematik dan sains.

Pada usia tujuh tahun, kanak-kanak berbakat itu mengarang buku pertamanya, ‘The Love’, yang membayangkan dunia yang bebas daripada keganasan.

Sementara pada usia sembilan tahun, Universiti Harvard mengiktiraf Bari kerana kebolehannya dalam penyelesaian masalah dan menerimanya ke dalam program berbakat di New York City.

Dia juga menghadiri kelas di Universiti Stony Brook.

Dia kini berada di landasan untuk menamatkan ijazah sarjana muda pada usia 14 tahun dan merancang untuk memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjelang umur 18 tahun.

Source :