Kebakaran tapak pelupusan sampah: Pulau Pinang cadang guna insinerator

BAYAN LEPAS: Kerajaan Pulau Pinang berharap rundingan berhubung Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dapat diterima pakai atau sebaliknya di negeri itu, dapat diputuskan tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata ini memandangkan rancangan masa depan termasuk membabitkan isu tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang dilaporkan terbakar semalam perlu diselaraskan dengan keputusan rundingan itu.

“KPKT (Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan) menggalakkan sisa buangan ditukar kepada tenaga di seluruh negara. Oleh kerana kita masih dalam peringkat rundingan, rancangan kita perlu diselarikan dengan keputusan sama ada menerima pakai Akta 672 ini atau tidak.

“Jadi, masih tidak jelas lagi memang pelan mengubah sisa buangan kepada tenaga suatu perkara yang kita lihat pada masa hadapan tetapi bila kita boleh lakukan masih tertakluk kepada keputusan rundingan Akta 672.

“Jadi, peringkat perbincangan sudah mula dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) tentang isu yang kita anggap penting untuk dirundingkan,” katanya di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas perancangan kerajaan negeri termasuk kemungkinan penggunaan insinerator bagi mengatasi kebakaran di tapak pelupusan sampah berkenaan.

Ketika ini, tujuh negeri mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Kuala Lumpur.

Selangor sebelum ini dilaporkan secara prinsip menyatakan persetujuan mahu mengguna pakai akta itu.

Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 bertujuan memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.

Kon Yeow menjelaskan, tiada kebakaran baharu dilaporkan berlaku di tapak pelupusan sampah Pulau Burung selepas api dapat dikawal malam tadi.