Penggal kepala Cikgu Istiqomah: Bekas guru direman 7 hari

ALOR GAJAH – Rakan kepada guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, yang dibunuh kejam dengan kepala dipenggal, kedua-dua tangan dan kaki dipotong, di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini Disember lalu, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan tragis itu.

Perintah reman sehingga Isnin depan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee untuk membantu siasatan di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Terdahulu suspek yang merupakan bekas guru mengenakan pelitup muka dan memakai baju lokap berwarna jingga tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira jam 8.30 diiringi anggota polis.

Sebelum ini suspek bersama isterinya berusia 36 tahun direman bermula 6 Ogos sehingga hari ini sebelum isterinya dibebaskan mahkamah hari ini selepas didapati tidak terlibat dalam kejadian itu.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan polis mengesahkan mayat wanita berusia 33 tahun itu dibunuh kejam sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang di longkang di Pulau Sebang yang dilaporkan hilang di Johor, 27 Disember lalu adalah Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, pengesahan itu dibuat selepas hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan 2 Ogos lalu ke atas ibu seorang wanita berkenaan sepadan dengan mangsa.

Hasil risikan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai rakan mangsa dan isterinya berusia 36 tahun di Chemor, Perak.

Siasatan terhadap kedua-duanya kemudian membawa penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa yang mempunyai tiga anak iaitu tulang jari dan kepala kira-kira enam kilometer dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan.

“Mangsa dikatakan mengenali suspek ketika masih belajar sebelum ini dan pernah berurusan dengan mangsa berkenaan skim pelaburan dalam pasaran pertukaran asing,” katanya.

Sebelum ini, kehilangan Istiqomah tular di media sosial, setelah guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, Pasir Gudang, Johor itu tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja pada 27 Disember 2023.

Bagaimanapun, kereta serta kunci kenderaan yang dinaiki wanita berkenaan ditemui di sekitar Lotus Kota Masai kira-kira pukul 2 petang, 27 Disember

MalaysiaGazette pada 6 Januari lalu melaporkan mayat dibiarkan tanpa pakaian sebelum itu ditemui orang awam di kira-kira pukul 2 petang 31 Disember lalu.

Mayat ditemukan dengan hanya beralaskan kain merah selain kepala, kedua belah kaki hingga ke paras lutut dan tangan dipercayai telah dipotong. – MalaysiaGazette

Source :