Pesara bank kerugian hampir RM2 juta akibat ‘love scam’

SHAH ALAM: Seorang pesara bank kerugian RM1.98 juta selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Love Scam’ yang melibatkan penerimaan satu bungkusan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 4.10 petang, semalam.

“Pengadu dalam kes ini seorang wanita warga tempatan berusia 64 tahun yang juga seorang pesara bank.

“Untuk menebus parcel itu, pengadu perlu memasukkan wang ke-12 akaun yang tidak dikenali seperti yang diarahkan sejak Mei lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

“Orang ramai dinasihatkan jangan mudah terpedaya dengan ‘love scam’ dan tidak melayan individu tidak dikenali di media sosial.

“Orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan sebelum melakukan transaksi kewangan dengan mengesahkan nombor telefon serta akaun di https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.