Sultan Nazrin berangkat rai sambutan Hari Kebangsaan di Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda pada jam 8.15 pagi disambut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sambutan bermula dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Division dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Division yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping.

Acara sambutan diteruskan dengan Lafaz Ikrar Hari Kebangsaan oleh 20 pelajar terdiri daripada Kolej Tingkatan Enam Sri Putra, Ipoh diketuai Muhammad Ammar Saifullah Shaharuddin.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan koir gabungan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet dan SMJK Ave Maria Convent dengan nyanyian tiga lagu iaitu lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini Malaysia Madani Jiwa Merdeka, Tanggal 31 dan Jalur Gemilang.

Majlis sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzikal Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih, menonjolkan elemen perpaduan dan kepelbagaian kaum serta budaya dalam masyarakat Malaysia yang hidup dalam suasana muhibbah dan harmoni.

Persembahan itu juga mengetengahkan tempat-tempat tarikan pelancongan di negeri ini bersempena Tahun Melawat Perak 2024.

Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 108 kontinjen yang disertai lebih 6,000 peserta terdiri pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan adalah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Lembaga Air Perak (MBI) termasuk perarakan aset-aset jabatan.

Kira-kira 30,000 rakyat negeri ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum memeriahkan sambutan dengan menunjukkan semangat patriotik.