Pencemaran bau kimia dikesan di tiga taman di JB

JOHOR BAHRU – Pencemaran bau kimia dikesan di Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa di sini pada awal pagi ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penguasa Bomba Kanan I Khairul Azhar Abd Aziz berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada pukul 1.39 pagi.

“Susulan itu seramai 19 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan(EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Terdapat pencemaran bau di tiga taman tersebut. Bau tersebut masih belum dapat dikenal pasti jenis dan tahap merbahaya.

“Tindakan operasi semasa adalah dengan membuat pemantauan menyeluruh dan bacaan udara menggunakan ‘gas detector’ oleh BBP Tebrau dan Unit Hazmat BBP Larkin.

“Masih belum dapat dipastikan pencemaran dari sungai atau sumber mana. Operasi masih lagi diteruskan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette

Source :