16 kes cirit-birit, muntah, demam di Taman Rekreasi Che Minah Sayang, disyaki dijangkiti Rotavirus

KUANTAN: Wabak Rotavirus disyaki punca 16 individu terutama kanak-kanak berusia antara dua dan 11 tahun mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam selepas mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang di Maran.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman, berkata wabak itu turut membabitkan seorang wanita berusia 27 tahun yang juga ibu kepada seorang daripada kanak-kanak berkenaan yang mengalami gejala itu.

Katanya, berdasarkan laporan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran pada Khamis lalu, menerima satu notifikasi wabak Acute Gastroenteritis (AGE) dalam kalangan kanak-kanak dengan gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam selepas mengunjungi taman rekreasi itu.

“Siasatan lanjut yang dijalankan oleh PKD Maran mendapati sebanyak 16 kes yang terdiri daripada kanak-kanak berumur dua hingga 11 tahun dan seorang wanita dewasa berumur 27 tahun telah dilaporkan dalam wabak ini.

“Semua kanak-kanak terlibat adalah stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Jengka, Maran manakala wanita yang merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak tersebut dirawat sebagai pesakit luar.

“Hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati penyebab wabak ini adalah jangkitan Rotavirus. Manakala, hasil ujian makmal bagi pengesahan penyakit kencing tikus (Leptospirosis) adalah negatif.

“Wabak Rotavirus ini berkemungkinan berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang bayi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, beliau berkata, JKN Pahang menasihati pihak pengurusan Taman Rekreasi Che Minah Sayang untuk menjalankan kerja pembersihan di sekitar taman rekreasi itu.

Katanya, kerja pembersihan itu termasuk memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat.

“Orang awam juga disarankan untuk mengambil cakna dengan tidak membawa anak-anak yang kurang sihat atau warga emas untuk berekreasi di taman rekreasi tersebut.

“JKNP ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi etika kebersihan dengan melupuskan lampin pakai buang bayi dengan cara yang selamat serta tidak membuang sampah-sarap merata-rata ketika mengunjungi mana-mana taman rekreasi.

“Jabatan ini juga akan terus memantau perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa,” katanya.