Pencemaran bau: 21 murid SK Kampung Maju Jaya muntah, sesak nafas

JOHOR BAHRU – Seramai 21 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya di sini mengalami loya, sesak nafas dan pening akibat terdedah dengan pencemaran bau sejak awal pagi tadi.

Ketua Kampung Maju Jaya, Roslan Hassan berkata, murid berkenaan adalah yang masuk pada sesi pagi persekolahan berusia antara 10 hingga 12 tahun.

“Mereka dibekalkan penutup hidung dan mulut bagaimanapun mengalami beberapa gejala ringan termasuk tekak kering, sukar bernafas dan loya.

“Kakitangan Klinik Kesihatan (KK) Kempas kemudian datang dan tiba di lokasi kejadian untuk membantu kumpulan murid terbabit.

“Murid berkenaan kemudian berada dalam keadaan yang baik dan dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, pihak sekolah juga membenarkan ibu bapa membawa pulang anak masing-masing kerana lokasi pencemaran bau itu dikesan berhampiran sekolah tersebut yang terletak di tepi sungai.

Katanya, bagi sesi petang pula pengurusan sekolah menerima arahan untuk menutup operasi.

“Sementara untuk esok pula, operasi sekolah difahamkan bergantung kepada situasi sama ada keadaan pulih atau sebaliknya,” katanya.

Roslan berkata, penduduk berharap kejadian seumpama itu tidak berulang kerana boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan terutama kanak-kanak dan warga emas.

Menurutnya, agensi berkaitan seharusnya memburu pelaku dan dikenakan tindakan sesuai.

“Ia tidak adil kepada penduduk yang tidak bersalah untuk menghadapi ketidakselesaan akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang membuat kerja secara haram.

“Kami berterima kasih kepadan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan yang tinjau di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, setakat ini, sekolah berkenaan ditutup sementara daripada beroperasi.

“Bagi sekolah lain, kita tunggu keputusan mesyuarat jawatankuasa bencana daerah petang ini untuk dapatkan keputusan.

“Sekolah lain kita buat langkah berjaga-jaga awal dengan pemakaian penutup hidung dan mulut,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pencemaran bau di Kampung Maju Jaya dan Kampung Tawakal pagi tadi mengakibatkan sekolah terbabit ditutup.

“Saya bersama pihak bomba, polis, ketua kampung dan penghulu telah turun padang melawat kawasan. Saya turut menghubungi YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dan memaklumkan perkara ini. Beliau mengarahkan sekolah tutup serta merta demi keselamatan guru dan murid,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Mereka perlu memakai pelitup muka, elak berada di kawasan yang terjejas dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sebarang gejala.

“Kami akan terus memantau situasi ini dan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Source :