Politeknik Malaysia juara PUBG Mobile SUKIPT 2024

SINTOK: Politeknik Malaysia muncul juara sulung acara e-sukan yang diperkenalkan buat kali pertama pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 di Dewan Tan Sri Othman, UUM petang semalam.

Gandingan Aiman Hakimi Khairul Nizam, Aiman Hakeem Khairul Nizam, Muhammad Zalmi Hakim Azhar, Amirul Aiman Mazalan dan Muhammad Amirul Syafiq Azizi berjaya merangkul pingat emas acara PUBG Mobile.

Pingat perak pula menjadi milik German-Malaysian Institute (GMI) manakala gangsa diraih pasukan tuan rumah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Politeknik Malaysia cemerlang dengan mengumpul 79 mata keseluruhan diikuti GMI dengan 57 mata dan UUM 53.

Pengurus pasukan Politeknik Malaysia, Amirul Zaharin Yusoff berkata, beliau bersyukur akhirnya pasukan itu berjaya merangkul emas bagi acara PUBG Mobile yang kali pertama diperkenalkan pada SUKIPT kali ini.

“Kemenangan ini didorong dengan latihan berterusan dan taktikal yang kami aturkan selain pembabitan atlet dalam Politeknik e-sport challenge dan ada yang bertanding pada temasya SUKMA Sarawak baru-baru ini.”