Mpox: Satu kes positif pada 16 Sept, pesakit dalam keadaan stabil – KKM

Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kes positif mpox varian clade II di negara ini pada Isnin.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, pesakit tersebut merupakan seorang lelaki warganegara yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 Sept, diikuti ruam yang mula muncul pada 12 Sept.

Katanya, pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.

Dia kini sedang dalam isolasi dan berada dalam keadaan yang stabil, menurut Muhammad Radzi dalam satu kenyataan.

“Daripada 58 kes disyaki mpox yang telah dirujuk kepada KKM sepanjang tahun ini, satu kes disahkan positif mpox clade II pada 16 Sept 2024.

“Dengan itu juga, semua 10 kes di Malaysia sejak 26 Julai 2023 sehingga kini adalah daripada clade II sahaja.

“Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” ujarnya.

KKM turut mengingatkan orang awam untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi membolehkan orang ramai memainkan peranan dengan meningkatkan kawalan kesihatan kendiri.

Pengamal perubatan di barisan hadapan juga perlu terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.

Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan.

Source :