BAITULMAQDIS: Israel semalam mengeluarkan ancaman paling keras, setakat ini, terhadap Iran dengan memberi amaran akan bertindak sebagaimana dilakukan ke atas Hamas di Gaza, selepas kumpulan Houthi yang disokong Tehran menyerang Lapangan Terbang Ben Gurion.
Ketua Pengawal Revolusi Iran, Hossein Salami, bagaimanapun menegaskan sebarang serangan dilakukan Amerika Syarikat (AS) mahupun Israel hanya akan ‘membuka pintu neraka.’
Bersama Hizbullah serta Hamas, kumpulan Houthi di Yaman adalah sebahagian daripada ‘paksi penentangan’ Iran terhadap Israel dan sekutunya, AS.
Houthi telah menekankan bahawa serangan berulang kali yang dilancarkan pihaknya terhadap Israel dan kapal-kapal di Laut Merah adalah sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Israel membalas serangan peluru berpandu Houthi terhadap lapangan terbangnya pada Ahad lalu, dengan melancarkan serangan udara ke atas lapangan terbang di ibu negara Yaman, Sanaa, serta tiga stesen janakuasa di negara miskin itu.PauseNextMute
“Saya memberi amaran kepada pemimpin Iran yang membiayai, membekalkan senjata dan mendukung organisasi Houthi: sistem proksi itu telah ditamatkan dan paksi sudah runtuh.
“Anda bertanggungjawab secara langsung. Apa yang kami telah lakukan terhadap Hizbullah di Beirut, Hamas di Gaza, dan Assad (bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad yang digulingkan) di Damsyik, akan kami lakukan juga pada anda di Tehran,” kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dalam satu kenyataan.
Katz sekali gus memberi amaran bahawa Tel Aviv tidak akan membenarkan ‘sebarang entiti mengancam keselamatan Israel.’
“Israel harus berupaya mempertahankan diri daripada sebarang ancaman dan musuh. Ini sudah berlaku sebelum ini dan ia akan terus sedemikian pada masa depan. Sesiapa yang menyerang kami akan menerima serangan balas yang dahsyat,” katanya.
Sementara itu dalam satu rakaman video disiarkan agensi berita Iran, Tasnim, Salami menegaskan: “Ini adalah amaran serius kepada pihak berkuasa Zionis dan Amerika… jika anda melakukan kesilapan paling kecil sekalipun, kami akan membuka pintu neraka untuk anda.”

