Perkhidmatan kargo Pasir Gudang-Kempas Baru beroperasi semula

PASIR GUDANG: Perkhidmatan Kargo Kempas Baru-Pasir Gudang, mula beroperasi semula hari ini selepas enam bulan ditutup bagi menjalani proses naik taraf menyeluruh dengan kos keseluruhan RM55 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek berkenaan yang pada asalnya dijadualkan mengambil masa 24 bulan untuk dinaik taraf berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan.

Katanya, kejayaan projek naik taraf berkenaan siap lebih awal hasil kerjasama Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dan kontraktor tempatan, Puncak Gali Harmoni Sdn Bhd.

“Landasan Perkhidmatan Kargo Kempas Baru-Pasir Gudang sepanjang 39.9 kilometer ini menghubungkan tiga jajaran utama – Kempas Baru, Seelong dan Pelabuhan Johor, Pasir Gudang – dinaik taraf secara menyeluruh dan mula beroperasi mulai hari ini selepas ditutup sementara sejak Oktober tahun lalu.

“Naik taraf membabitkan pembinaan sistem perparitan baharu, penggantian trek dan batu kelikir serta peningkatan sistem isyarat dan keselamatan dengan kos keseluruhan RM55 juta.PauseNextMute

“Dengan pembukaan semula laluan ini, KTMB telah meningkatkan kekerapan perjalanan kereta api kargo daripada dua kepada enam perjalanan sehari, serta melonjakkan jumlah pengendalian kontena dari 140 unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) kepada 420 TEUs sehari, peningkatan sebanyak tiga kali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Semula Landasan untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Kempas Baru-Pasir Gudang, di sini.

Anthony berkata, pembukaan semula Perkhidmatan Kargo Kempas Baru-Pasir Gudang akan mengurangkan 420 treler sehari di rangkaian jalan raya di negeri ini dan negeri lain selain lebuh raya utama.

Beliau berkata, laluan rel berkenaan akan memperkukuh sambungan antara Pelabuhan Pasir Gudang dengan pelabuhan utama lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang serta ke Kuantan dan ke luar negara melalui jaringan rel ke Thailand dan China, yang sedang menjalani rundingan.

Katanya, kejayaan projek naik taraf berkenaan selepas ia disenaraikan projek sakit Kementerian Pengangkutan, menandakan Malaysia semakin hampir merealisasikan aspirasi sebagai hab logistik serantau yang berdaya saing.

“Ia sekali gus membuktikan keupayaan sistem rel sebagai mod pengangkutan kargo yang lebih cekap, selamat dan mampan.

“Pasir Gudang dan Kempas antara hab logistik utama di Johor, dan penyambungan antara kedua-duanya melalui perkhidmatan kargo rel yang berkesan adalah cukup penting.

“Laluan ini nadi penting kepada rantaian bekalan industri, terutamanya dalam menyokong operasi pelabuhan-pelabuhan di Johor,” katanya.