KUALA LUMPUR: Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin tidak menafikan yang dirinya pernah ‘dilamar’ Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan badan induk itu.
Iskandar yang ketika ini berkhidmat selaku ketua jurulatih perseorangan Ireland begitupun berkata, dia menyambut baik lamaran itu namun mengakui dirinya kini gembira dengan tugasnya di perantauan.
“Tak tahu lagi (untuk tawaran BAM). Tapi (memang) ada pihak yang menghubungi saya, kita tengoklah bagaimana nanti,” kata Iskandar yang mula menyertai skuad kebangsaan Ireland pada 2022.
“Sekarang ini kontrak saya (di Ireland) sehingga 2028. Nhat (Nguyen) juga masih muda, jadi kena tengok dulu. Saya juga perlu bincang dengan keluarga kerana semua keluarga saya sudah berada di Ireland… kena tengok mana yang terbaik.
“Saya sudah empat tahun di sana. Kerja pun OK kerana mereka memberi kepercayaan kepada saya dan apabila orang sudah memberikan kepercayaan, saya kena berikan keputusan yang baik.
“Saya masih jurulatih muda, jadi impian saya adalah untuk membuktikan kemampuan saya terlebih dahulu. Dulu saya pernah berlatih di bawah bimbingan (Datuk Misbun Sidek) dan Hendrawan.
“Jadi saya cuba manfaatkan segala pengalaman itu. Tapi sejujurnya saya masih belajar lagi untuk menjadi jurulatih yang baik.”
Di bawah bimbingan Iskandar, Nguyen berjaya melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan berada di kedudukan ke-33 dalam ranking dunia ketika ini.
Malah semalam, Nguyen turut menundukkan wakil negara, Leong Jun Hao 10-21, 21-18, 21-9 di pusingan pertama Masters Malaysia 2025 dalam tempoh satu jam 14 minit.
“Cuma hendak menjadikan seseorang pemain itu sebagai pemain utama akan mengambil masa sikit dan saya perlu bersabar. Sekarang ini kami sudah mempunyai program untuk pemain remaja.
“Harap dengan adanya program pembangunan itu, Ireland boleh pergi lebih jauh,” katanya.

