SEOUL: Satu kemalangan besar berlaku pada majlis pelancaran kapal pemusnah tentera laut Korea Utara yang baharu, lapor media kerajaan hari ini.
Pemimpinnya, Kim Jong-un berkata ada unsur sabotaj di sebalik kemalangan itu dan menyifatkannya sebagai satu tindakan jenayah.
Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), pada majlis pelancaran kapal pemusnah baharu seberat 5,000 tan di bandar pelabuhan timur, Chongjin semalam berlaku satu kemalangan serius.
Tragedi ketika majlis pelancaran itu dikatakan berlaku disebabkan ‘arahan daripada pihak tidak berpengalaman dan kecuaian operasi’, dengan perkara itu sedang diperhatikan oleh Jong-un.
KCNA melaporkan, berlaku kemalangan yang menyebabkan ‘beberapa bahagian dasar kapal perang itu hancur’ sehingga memusnahkan keseimbangan kapal perang terbabit.
Jong-un menyaksikan keseluruhan kejadian itu dan mengisytiharkannya sebagai ‘tindakan jenayah yang disebabkan oleh kecuaian’ dan memberi amaran ia tidak boleh diterima.
Beliau berkata, ‘kesilapan tidak bertanggungjawab oleh pegawai tertentu akan ‘diuruskan pada mesyuarat pleno Jawatankuasa Pusat Parti yang akan diadakan bulan depan’.
Pyongyang melancarkan satu lagi kapal kelas pemusnah seberat 5,000 tan, dinamakan Choe Hyon, bulan lalu.
Media kerajaan menyiarkan imej Jong-un menghadiri majlis itu bersama anak perempuannya , Ju-ae, yang dianggap oleh ramai pakar sebagai penggantinya.
Korea Utara mendakwa kapal itu dilengkapi ‘senjata paling berkuasa’ dan ia akan beroperasi awal tahun depan.
Beberapa penganalisis berkata, kapal itu boleh dilengkapi peluru berpandu nuklear taktikal jarak dekat walaupun Korea Utara tidak membuktikan ia mempunyai keupayaan untuk menghasilkan senjata nuklear kecil.
Tentera Korea Selatan percaya Choe Hyon mungkin dibangunkan dengan bantuan Russia, sebagai balasan kerana Pyongyang mengerahkan ribuan anggiota tentera berperang membantu Russia di Ukraine, – AFP

