Firma Malaysia, Singapura dan Vietnam jalin kerjasama eksport tenaga boleh baharu

KUALA LUMPUR: Malaysia, Singapura dan Vietnam menjalin kerjasama strategik bagi meneroka eksport tenaga boleh baharu (TBB) dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura.

Kerjasama strategik itu dijalin menerusi MY Energy Consortium, konsortium yang ditubuhkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) and Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dengan konsortium terdiri daripada PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC), ahli Vietnam National Industry – Energy Group (Petrovietnam) of Vietnam dan Sembcorp Utilities Pte Ltd, anak syarikat milik penuh Sembcorp Industries (Sembcorp).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata bekalan TBB itu akan menjadi sebahagian Grid Kuasa ASEAN.

Beliau berkata, pertukaran dokumen yang diadakan itu menandakan jalinan kerjasama antara Vietnam, Malaysia dan Singapura bagi membekalkan TBB daripada Vietnam ke Malaysia.

Menurutnya, bekalan TBB itu kelak akan melalui kabel dasar laut dengan sebahagiannya akan ke Singapura dan sebahagian lagi ke Malaysia.PlayNextMute

“Apa yang dimeterai hari ini hanyalah permulaan. Perinciannya, termasuk model bisnes dan hal teknikal akan dibincangkan lebih mendalam selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pertukaran perjanjian itu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, hari ini.

Majlis pertukaran perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik yang ditemui selepas majlis itu turut menyuarakan komitmen syarikat dalam menjayakan kerjasama strategik berkenaan.

Beliau menyifatkan, majlis pertukaran perjanjian itu adalah satu mercu tanda kejayaan besar, bukan hanya untuk Malaysia tetapi juga Vietnam dan Singapura.

“Ia melambangkan kerjasama dalam era pembersihan sistem tenaga dan kami amat bangga bekerjasama dengan TNB, PTSC dan Sembcorp,” katanya.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata apa yang disaksikan hari ini adalah bahagian pertama usaha sama antara negara ASEAN bertujuan menjadikan Grid Kuasa ASEAN sebagai realiti.

Beliau berkata, langkah seterusnya ialah melaksanakan kajian daya maju bagi menilai secara terperinci bagi usaha itu.

Di bawah perjanjian itu, konsortium akan menilai kebolehlaksanaan mengeksport TBB daripada Vietnam ke Malaysia dan Singapura melalui kabel dasar laut baharu.

Bagi tujuan itu, konsortium akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara yang berkaitan di seluruh proses pembangunan, mendapatkan kelulusan yang diperlukan bagi pelbagai fasa projek, serta membuka jalan untuk penyepaduan kuasa serantau yang penting dan kesalinghubungan tenaga.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama usaha yang memajukan kemampanan, daya tahan dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini.