JIM, JAIS gempur enam pusat sembelih ayam di Pasar Borong Selayang

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menggempur enam pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang dalam serbuan bersepadu pagi tadi.

Operasi yang bermula sekitar jam 1.45 pagi ini dijalankan susulan aduan dan risikan selama tiga minggu oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, JIM Putrajaya.

JIM berkata, hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan premis beroperasi secara tidak teratur, termasuk keadaan lantai yang dipenuhi darah dan najis ayam.

Hanya satu premis dikendalikan oleh warga tempatan, manakala lima lagi dipercayai diuruskan sepenuhnya oleh pekerja asing.

Ketika serbuan, terdapat cubaan melarikan diri oleh beberapa pekerja, namun berjaya digagalkan.

Seramai 36 lelaki warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun telah ditahan kerana dipercayai bekerja tanpa dokumen sah.

Mereka terdiri daripada 25 warga Myanmar, 10 warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia, termasuk beberapa individu yang memegang kad UNHCR.

Kesemua mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Selain itu, JIM turut mengeluarkan notis kepada empat lelaki tempatan untuk hadir bagi membantu siasatan.

JIM komited dalam memastikan setiap premis perniagaan mematuhi undang-undang negara dan tidak menggajikan pekerja asing secara haram, ujarnya. – MalaysiaGazette