MELAKA – Lelaki disyaki tokan dadah menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta sebelum bergesel dengan lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Paya Rumput, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pemeriksaan di tempat kejadian ditemukan bungkusan plastik berisi 462 peket kecil berisi dadah dipercayai heroin dan methamphetamine bertaburan berhampiran motosikal si mati.
“Bungkusan mengandungi 450 peket dadah seberat 688.81 gram dipercayai jenis heroin dan 12 peket dadah disyaki methampetamine seberat 13.41 gram.
“Kita percaya, mangsa lelaki tempatan berusia 22 tahun yang dalam perjalanan dari arah Cheng mungkin mahu mengedar dadah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Menurutnya semakan mendapati si mati tiada rekod jenayah dan dipercayai baru terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di negeri ini.
“Siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa melanggar bahagian belakang kereta Perodua Bezza yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 48 tahun.
“Impak nahas menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 44 tahun yang berada di laluan sama,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Katanya, polis menerima laporan kejadian pada jam 7.54 pagi.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambahnya.
Terdahulu sejak pagi tadi tular gambar dan beberapa klip video penemuan sejumlah dadah dalam kemalangan itu sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan warga net.- MalaysiaGazette

