Ismanira biar Zayn Rayyan lari sendirian ke kebun belakang blok – Pendakwa

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan berpendirian, Ismanira Abdul Manaf mengabaikan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dengan membiarkan kanak-kanak autisme itu berlari bersendirian ke arah kebun di belakang blok kediaman mereka sebelum membuat laporan polis berhubung kehilangannya.

Pendakwaan turut menyatakan, Ismanira tidak langsung mengejar Zayn Rayyan bagi mengelaknya terus berlari ke belakang, sebaliknya mementingkan diri sendiri dengan menaiki tangga Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai dan menghantar dahulu barang yang dibelinya ke rumah.

Hujah pendakwaan, bukti itu disokong oleh keterangan saksi pendakwaan ke-14 dan 15 (SP14 dan SP15) iaitu saksi kanak-kanak yang memberitahu melihat Zayn Rayyan berlari seorang diri di belakang blok itu pada tengah hari 5 Disember 2023.

Ujar pendakwaan, tindakan pengabaian itu turut dilihat melalui rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang jelas menunjukkan wanita itu (tertuduh kedua) dilihat menaiki tangga sendirian.

“Yang lebih memilukan, apabila menyedari Zayn Rayyan (si mati) telah melarikan diri, saat yang sepatutnya mencetuskan panik dan tindakan segera.

“Namun, tertuduh kedua tidak berlari mengejarnya, tidak menjerit memanggil mahupun menunjukkan rasa cemas yang sepatutnya ada pada seorang ibu yang baru kehilangan anak dari pandangan.

“Tiada seorang pun saksi pendakwaan yang mendengar tertuduh kedua menjerit memanggil nama si mati bagi mencarinya.

“Sebaliknya, tertuduh kedua memilih naik ke tingkat atas, menukar pakaiannya dan kemudian turun semula seperti tiada apa yang berlaku,” demikian menurut penghujahan bertulis pendakwaan setebal 46 muka surat bertarikh 23 Mei lalu yang diperoleh pihak media, hari ini.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan menghujahkan, keterangan saksi-saksi menunjukkan berlakunya pengabaian terhadap Allahyarham sehingga akhirnya menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Hujah pendakwaan, keterangan saksi pendakwaan ke-18 (SP18) iaitu Doktor Pediatrik, Dr. Siti Ramlah Abdullah menunjukkan tahap penjagaan kanak-kanak autisme seperti si mati adalah lebih dari kanak-kanak biasa.

Ujar saksi itu, sebagai ibu bapa, Ismanira dan suaminya Zaim Ikhwan Zahari seharusnya tahu tumpuan yang lebih diberikan terhadap anak mereka.

“Si mati berada dalam jagaan tertuduh kedua terutamanya pada hari kejadian dari pukul 12:05 tengah hari apabila mengambilnya dari sekolah,” ujarnya.

Zayn Rayyan ditemukan pada 6 Disember 2023 kira-kira pukul 9.40 malam di kawasan sungai belakang Blok R dalam keadaan kaki bengkok dan badan mengiring atas rusuk kiri.

Hujah pendakwaan, dalam membuktikan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh, niat untuk mencederakan Zayn Rayyan bukan elemen yang perlu dibuktikan dalam kes.

“Ini bermakna, meskipun kedua-duanya tidak mempunyai niat untuk mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak itu, namun jika tindakan itu sama ada secara langsung atau melalui kecuaian telah mendedahkan si mati kepada risiko kecederaan, maka mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a).

“Pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan ikut keadaan yang menunjukkan bahawa semasa si mati berada di bawah jagaan, mereka mendedahkan kanak-kanak itu kepada kemungkinan berlakunya kecederaan-kecederaan berkenaan,” hujah pendakwaan.

Oleh yang demikian, pihak pendakwaan memohon mahkamah memanggil kedua-duanya membela diri terhadap pertuduhan.

Pada 24 April lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas 28 saksi memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 20 hari bermula 4 Februari lalu.

Antara saksi yang dipanggil pendakwaan adalah eksekutif jualan, Faizul Najib Abd Munaim yang menemui arwah Zayn Rayyan atas timbunan pasir di aliran sungai; pengasuh, Auni Afiqah Abas; guru prasekolah pendidikan khas, Siti Aminah Nor Mad Ali dan dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.

Selain itu, saksi lain ialah pakar patologi, Dr Rohayu Shahar Adnan, pakar pediatrik Dr Bernice Lim Pei-Yi dan dua pegawai penyiasat yang menyiasat kes kehilangan kanak-kanak itu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh tidak menetapkan tarikh untuk penghujahan lisan. Sebaliknya, beliau akan menyampaikan keputusan pada 21 Julai ini dan sekiranya keputusan memihak kepada pendakwaan, mahkamah memerintahkan pembelaan memulakan kes pada hari yang sama.

Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petalig Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen di antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette