Laungan Allahuakbar, Astaghfirullah lelaki kelar isteri bergema di mahkamah

TANGKAK – Laungan Allahuakbar, Astaghfirullah suami yang dipercayai mengelar isteri sehingga mati bergema di Mahkamah Majistret Tangkak, di sini, pagi tadi.

Gema suara suspek lelaki berusia 33 tahun itu yang turut cuba membakar kediaman mentuanya jelas kedengaran sebelum mahkamah membenarkan penganggur berkenaan direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga 10 Jun ini tahun itu, dikeluarkan Majistret Lee Kim Keat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun sama.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.25 pagi dengan dikawal oleh anggota polis sebelum dibawa keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Ketika berada di dalam lokap, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu itu berkali-kali melaungkan kalimah syahadah dan beristighfar.

Hari ini, MalaysiaGazette melaporkan seorang wanita berusia 30-an mati dipercayai dikelar suaminya di rumah mereka malam Isnin lalu.

Kejadian tragis itu hanya terbongkar pagi semalam.

Dalam kejadian tersebut, suspek yang berusia 30-an juga cuba membakar rumah ibu mentuanya di Lenga, Pagoh, Muar malam kelmarin (Isnin) yang terletak kira-kira 40 kilometer dari kediamannya.

Tindakan suspek itu bagaimanapun tidak berjaya dan hanya sempat membakar beberapa kenderaan yang berada di bahagian luar rumah.Suspek kemudian berjaya diberkas polis selepas pulang ke kediamannya di Bukit Gambir kira-kira pukul 7 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kenyataan akhbar akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette