TANGKAK – Kediaman wanita maut dipercayai dikelar suaminya malam Isnin lalu sunyi, selain tidak mempunyai jiran kerana masih terdapat unit rumah yang belum berpenghuni.
Tinjauan MalaysiaGazette rumah dua tingkat berkenaan di Taman Cahaya, Sungai Mati, Bukit Gambir di sini malam tadi mendapati, pita larangan polis masih digantung di pagar rumah.
Selain tidak berjiran, pagar depan rumah berkenaan didapati dipasang jaring teduh matahari sekali gus menyukarkan orang luar melihat ke dalam kediaman itu.
Sumber Dari :- Malaysia Gazette
Tinjauan MalaysiaGazette di kediaman itu awal pagi ini mendapati terdapat selipar, kotak dan beberapa bekas gabus polisterin putih berselerakan di ruang garaj kereta.
Usaha wartawan untuk mendapatkan penduduk setempat tidak berhasil ekoran kawasan perumahan itu yang hanya mempunyai satu jalan keluar dan masuk dan lokasi perumahan ini sunyi.
Semalam, media melaporkan seorang wanita berusia 30-an mati dipercayai dikelar suaminya di rumah mereka malam Isnin lalu.
Kejadian tragis itu hanya terbongkar pagi semalam.
Dalam kejadian tersebut, suspek yang berusia 30-an juga cuba membakar rumah ibu mentuanya di Lenga, Pagoh, Muar malam kelmarin (Isnin) yang terletak kira-kira 40 kilometer dari kediamannya.
Tindakan suspek itu bagaimanapun tidak berjaya dan hanya sempat membakar beberapa kenderaan yang berada di bahagian luar rumah.
Suspek kemudian berjaya diberkas polis selepas pulang ke kediamannya di Bukit Gambir kira-kira pukul 7 pagi semalam.
Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak pagi ini untuk mendapatkan permohonan reman.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kenyataan akhbar akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

