Parkir awam dibolot pekerja Malaysia di Singapura 15 jam sehari

ISKANDAR PUTERI: Lot parkir awam di sini, Perling dan Skudai dibolot dan dimonopoli kenderaan pekerja Malaysia di Singapura sejak dua tahun lalu menimbulkan kegusaran ramai.

Ia menjejaskan ribuan lot parkir berhadapan unit perniagaan utama, selain rizab dikhaskan untuk penjaja dan peniaga kecil di bandar raya ini dan Johor Bahru.

Tinjauan di kawasan Medan Nusa Perintis 2, Gelang Patah dan Perling, mendapati kawasan parkir awam di situ penuh sesak dengan ratusan kenderaan pekerja Malaysia di Singapura yang memenuhi lokasi berkenaan seawal jam 5 pagi dan hanya akan dikosongkan selepas jam 8 malam setiap hari bekerja.

Ia menyebabkan pelanggan yang mahu mengunjungi premis perniagaan di sekitar Iskandar Puteri, Perling dan Skudai tidak dapat berbuat demikian selain menyebabkan kesesakan apabila pelanggan terpaksa meletakkan kenderaan secara berlapis atau di bahu jalan.

Peniaga makanan di rizab dikhaskan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Perling yang mahu dikenali sebagai Emma berkata, beliau terpaksa berniaga di hadapan kenderaan yang diletakkan di lot niaganya kelmarin.

“Ketika tiba di tapak niaga dikhaskan MBIP di sini, pagi kelmarin, saya terkejut apabila dapati lot niaga sudah dipenuhi kenderaan.

“Beberapa pemilik kereta berkenaan hanya muncul lewat petang dan mereka mempertikaikan pula saya dan peniaga lain sama ada mempunyai lesen untuk berniaga di sini, sedangkan kawasan ini dikhaskan MBIP untuk penjaja,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, peniaga makanan di Medan Selera Iskandar Malaysia, Gelang Patah, Mar Muhammad, 33, berkata hampir 20 gerai makanan di situ kerugian sejak dua tahun lalu berikutan jumlah pelanggan yang semakin berkurangan.

Katanya, isu kenderaan pekerja Malaysia di Singapura yang memonopoli parkir awam di situ selama 15 jam sehari sudah diadukan kepada MBIP bagi penyelesaiannya.

“Namun, isu ini masih belum dapat diatasi menyebabkan peniaga makanan yang beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 10 malam di sini kerugian akibat tidak ramai pelanggan dapat datang. Ramai pelanggan mengadu mereka terpaksa berpusing dua tiga kali dan akhirnya terpaksa pergi ke lokasi lain untuk menjamu selera.

“Bayangkanlah ratusan kenderaan pekerja Malaysia di Singapura sudah mula parkir di sini sejak jam 5 pagi dan hanya akan pulang jam 8 malam iaitu 15 jam sehari ada pula yang parkir percuma berminggu-minggu lamanya dan mengumpul berhelai-helai kertas saman parkir.

“Kami peniaga juga sering bergaduh dan bertekak dengan pekerja Malaysia di Singapura yang tidak mahu bertolak ansur dan berdegil mahu meletakkan juga kenderaan mereka di sini, selain mereka merosakkan kon penghadang jika kami terlewat tiba untuk mengawal parkir setiap awal pagi,” katanya.

Pekerja kedai menjual dan membaiki motosikal, Amirul Arshad, 31, berkata ketiadaan parkir di kawasan itu menyebabkan pelanggan kedai terpaksa meletakkan kenderaan mereka di lorong sempit belakang kedai.

“Paling dikesalkan ada kenderaan pekerja Malaysia di Singapura sengaja parkir di lot hadapan kedai yang sudah dibayar secara tahunan kepada MBIP menyebabkan kami sukar beroperasi dan terpaksa memanggil trak penunda penguatkuasa bagi mengalihkan kenderaan yang menghalang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata beliau sudah membangkitkan isu itu pada mesyuarat penyelarasan daerah.

Katanya, beliau menerima banyak aduan dan rungutan daripada peniaga di sekitar Gelang Patah berhubung isu parkir awam yang menyebabkan kesukaran pelanggan meletakkan kenderaan mereka.

“Perlu ada mekanisme lebih tegas bagi memastikan parkir awam tidak terus dibolot pekerja Malaysia di Singapura yang meletakkan kenderaan mereka dalam tempoh lama lebih 15 jam sehari.

“Sebelum ini ada cadangan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan tanah kosong di sekitar kawasan itu bagi dijadikan tapak parkir khas kenderaan pekerja Malaysia di Singapura, namun cadangan itu setakat ini belum dilaksanakan,” katanya.