Seleweng dana sukuk lebuh raya: Media dihalang masuk kawasan kediaman Tan Sri

KUALA LUMPUR: Salah satu pintu masuk kawasan kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditutup oleh polis bantuan sebuah syarikat jam 11.35 pagi tadi, ketika pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berada dalam kediaman itu untuk merakamkan keterangannya.

Difahamkan, pegawai SPRM tiba di kediaman itu awal pagi, dengan proses mengambil keterangan dipercayai bermula sekitar jam 9 pagi.

Kon dan penghadang diletakkan di pintu masuk ke kawasan kediaman itu, dengan anggota polis bantuan yang berada di sana juga menghalang petugas media daripada mendekati kawasan itu.

Petugas media yang cuba masuk ke kawasan kediaman itu juga diarah keluar semula sambil memaklumkan tiada akses masuk dibenarkan ketika siasatan sedang dijalankan.

Polis Bantuan sebuah syarikat mengawal di hadapan pintu masuk kawasan kediaman Tan Sri yang diambil keterangan oleh SPRM berhubung kes penyelewengan dana sukuk lebuh raya. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Polis Bantuan sebuah syarikat mengawal di hadapan pintu masuk kawasan kediaman Tan Sri yang diambil keterangan oleh SPRM berhubung kes penyelewengan dana sukuk lebuh raya. – Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tan Sri itu disoal siasat SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana sukuk yang dikaitkan dengan pembinaan lebuh raya utama di Lembah Klang.

Terdahulu pagi tadi, tinjauan oleh New Straits Times mendapati beberapa petugas media cuba mendapatkan kebenaran masuk ke kawasan kediaman berpagar itu, namun ditolak.

Polis bantuan yang ditempatkan di lokasi itu sebaliknya mengarahkan petugas media yang menunggu di sana supaya meninggalkan kawasan berkenaan.

SPRM semalam memaklumkan akan merekod keterangan ahli perniagaan itu hari ini serta mengesahkan individu berkenaan adalah saksi penting dalam siasatan yang setakat ini menyaksikan rampasan aset bernilai lebih RM143 juta.

Aset tersebut termasuk wang tunai, hartanah, kenderaan mewah, jam tangan eksklusif, barang kemas dan barangan lain yang bernilai tinggi. Pihak berkuasa juga sedang mengesan aset di luar negara, termasuk di London dan Switzerland.