Ejen tarik kereta ditahan ceroboh rumah

SUNGAI PETANI: Ejen penarik kereta ditahan polis kelmarin selepas menceroboh masuk sebuah rumah di Aman Jaya, dekat sini, untuk menarik sebuah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di tepi Jalan Jati, jam 10.30 malam.

Pengadu yang juga pemilik kereta berusia 38 tahun mendapati pagar hadapan rumahnya yang berkunci dengan mangga terbuka ketika pulang ke rumah jam 7 malam Sabtu lalu.

“Pengadu mendapati Perodua Alza miliknya sudah ditarik oleh pihak bank dan dia mengesyaki ejen tarik kereta itu menceroboh masuk rumahnya.

“Dia juga mendakwa kenderaannya itu ditarik sebelum 9 pagi kerana sepatutnya prosedur penarikan kereta perlu dilakukan selepas 9 pagi.

“Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati disebabkan pagar rumah yang berkunci dibuka tanpa pengetahuannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hanyan berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku masuk ke rumah pengadu dan menarik kereta berkenaan pada 29 Mei lalu.

Pemilik tak bayar ansuran 8 bulan

Bagaimanapun katanya, pengadu hanya menyedari kehilangan keretanya pada 14 Jun iaitu kira-kira seminggu kemudian selepas pulang ke rumahnya sebelum mendapati kereta itu sudah tiada.

“Suspek mendakwa menarik kereta berkenaan disebabkan pemilik gagal menjelaskan bayaran tunggakan selama lapan bulan.

“Berikutan itu polis menahannya untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati, suspek mempunyai satu rekod sebelum ini iaitu Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut,” katanya.