TEHRAN: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan kempen Israel terhadap Iran akan ‘mengubah wajah Asia Barat’, ketika konflik masuk hari keempat itu semakin tegang berikutan kedua-dua pihak terus berbalas serangan.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas serangan ke atas bangunan rangkaian televisyen Iran, IRIB, yang memaksa seorang penyampai berita melarikan diri ketika siaran langsung dan mencetuskan ancaman serangan balas terhadap saluran berita Israel.
Selepas berdekad permusuhan dan perang proksi yang berpanjangan, Jumaat lalu Israel melancarkan kempen udara mengejut terhadap sasaran di seluruh Iran, atas alasan mahu menghalang musuh ketatnya daripada memperoleh senjata atom, suatu cita-cita yang dinafikan Tehran.
Keganasan yang memuncak secara tiba-tiba itu mencetuskan kebimbangan konflik lebih meluas, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesa Iran kembali ke meja rundingan selepas serangan Israel menjejaskan rundingan nuklear yang sedang berjalan.
Walaupun Trump menegaskan bahawa Washington ‘tiada kaitan’ dengan kempen sekutunya, Menteri Luar Iran semalam berkata, pemimpin AS boleh menghentikan serangan dengan hanya satu panggilan telefon.
Menurut pihak berkuasa Iran, setakat ini, serangan Israel mengakibatkan sekurang-kurangnya 224 orang maut termasuk komander tertinggi tentera, saintis nuklear dan orang awam.
Dalam sidang akhbar pada petang Isnin, Netanyahu berkata, Israel sedang menghapuskan kepimpinan keselamatan Iran ‘satu demi satu’.
“Kami sedang mengubah wajah Asia Barat dan ini boleh membawa kepada perubahan radikal di dalam Iran sendiri,” katanya.
Iran melancarkan beberapa gelombang peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel, dengan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada petang Isnin memberitahu serangan akan berterusan ‘tanpa gangguan sehingga subuh’.
Awal hari ini, penduduk Tel Aviv diberi amaran supaya mencari perlindungan, walaupun sistem penggera terbabit akan dimatikan tidak lama lagi.
Pertahanan udara di Tehran juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Video yang dikeluarkan laman sesawang badan kehakiman Iran, Mizan Online, menunjukkan bangunan IRIB terbakar.
Israel sebelum ini mengeluarkan amaran pemindahan untuk kawasan kejiranan di mana terletaknya bangunan penyiar televisyen Iran, IRIB dengan Menteri Pertahanan, Israel Katz, sebelum serangan itu berkata ‘propaganda dan megafon hasutan Iran akan lenyap’.
IRIB menyambung semula siarannya sejurus selepas serangan, dengan seorang pegawai kanan di perkhidmatan itu berkata ‘suara revolusi Islam… tidak akan dapat dilenyapkan dengan operasi ketenteraan’.
Rangkaian televisyen kerajaan melaporkan, Iran kemudiannya mengeluarkan amaran pemindahan bagi saluran N12 dan N14 Israel, menyifatkan arahan itu sebagai ‘tindak balas terhadap serangan ke atas IRIB’.
Dalam pada itu, Bulan Sabit Merah Iran pada Isnin berkata, serangan udara Israel di barat laut Tehran membunuh tiga anggota penyelamat ketika mereka merawat individu yang cedera susulan serangan terdahulu.
Di Israel, tentera melaporkan satu lagi serangan peluru berpandu oleh Iran pada malam Isnin, yang menyasarkan bahagian utara negara itu, di mana penduduk telah dinasihatkan supaya berlindung.
Serangan Iran yang berlaku lebih awal pada Isnin turut membedil Tel Aviv, Bnei Brak, Petah Tikva dan Haifa, meninggalkan kediaman yang ranap, sisa bangunan yang masih berasap serta penduduk yang terpinga-pinga menyelongkar serpihan.
Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan bahawa angka kematian di negara itu meningkat sebanyak 11 orang pada Isnin, meningkatkan jumlah keseluruhan sejak Jumaat lalu kepada 24 orang.
Seorang pegawai kanan AS memberitahu AFP bahawa Trump telah campur tangan bagi menghalang Israel daripada melaksanakan pembunuhan terhadap pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tidak menolak kemungkinan (membunuh Khamenei) itu apabila ditanya mengenai laporan berkenaan dalam satu temu bual bersama ABC News.
“Ia (pembunuhan Khamenei) tidak akan meningkatkan konflik, sebaliknya mampu menamatkannya,” katanya. – AFP

