Kenderaan dikaitkan dengan penculikan Pamela ditemui dekat sempadan Malaysia-Thailand

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta yang dikaitkan dengan kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh didakwa ditemui dalam keadaan terbengkalai berhampiran sempadan Malaysia-Thailand beberapa minggu lalu.

Menurut peguam keluarga mangsa, Sangeet Kaur Deo, maklumat itu diperoleh melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan lanjut dimaklumkan pihak berkuasa berhubung ujian forensik terhadap kenderaan berkenaan.

“Kami dimaklumkan bahawa salah sebuah kereta yang dirakam menerusi CCTV telah ditemui berhampiran sempadan Thai.

“Tetapi hingga kini, tiada maklumat diberikan berhubung ujian forensik terhadap barangan dalam kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sangeet turut mendedahkan bahawa lebih 47 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan, namun keluarga masih belum menerima sebarang maklum balas konkrit daripada pihak polis.

“PDRM sama ada tidak cekap atau enggan menyiasat kes ini secara serius.

“Kami telah memberikan lebih banyak maklumat daripada yang diminta, namun tidak satu pun ditindak balas secara profesional,” tambahnya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah disoal siasat secara menyeluruh, memandangkan kehilangan Pamela dipercayai berkaitan dengan maklumat penting yang sedang disalurkan kepada agensi tersebut.

“Apakah jenis maklumat yang disampaikan oleh Pamela kepada SPRM dan siapa pihak berkepentingan yang mungkin terkesan? Adakah mereka ini sudah dirakam percakapan?” soalnya.

Sehubungan itu, Sangeet menggesa penjelasan sama ada Polis Antarabangsa (Interpol) telah dimaklumkan, memandangkan kemungkinan besar Pamela telah dibawa keluar dari negara ini.

“Kami percaya siasatan ini tidak diambil serius. Sikap pilih kasih dalam penyiasatan menunjukkan ketidaktelusan yang menafikan hak asasi keluarga mangsa dan rakyat Malaysia,” katanya.

Datin Pamela Ling, 52, sebelum ini dilaporkan hilang selepas menaiki kenderaan e-hailing dari kediamannya di Kota Damansara ke pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 9 pagi April lalu.

Pemandu e-hailing tersebut kemudian membuat laporan polis, mendakwa wanita berkenaan telah ‘dibawa pergi’ oleh tiga individu yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebaik tiba berhampiran bangunan SPRM. – MalaysiaGazette