KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menggantung lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta-merta.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu diambil mengikut peruntukan Seksyen 56(4), Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], susulan siasatan yang sedang dijalankan.
“Sebagai langkah proaktif demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Penggantungan lesen ini akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang pemandu bas yang membawa pelajar UPSI didakwa di Mahkamah Majistret Gerik pada 13 Jun lalu atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar.
Mohd Amirul Fadhil Zulkifli, 39, mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu bas didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Fakhrul Arif Rosdi, 20.
Kesalahan didakwa dilakukan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat, kira-kira jam 1.15 pagi pada 9 Jun lalu.
Selain itu, katanya, JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan terbabit.
“Ini termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan.
“JPJ menegaskan komitmennya untuk terus mengutamakan keselamatan jalan raya. JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

