MANCHESTER: Manchester United dilaporkan membuat tawaran 127 juta pound (RM731.06 juta) untuk bintang Barcelona, Raphinha.
Pengendalinya, Ruben Amorim dan Pengarah Bolasepak baharu Man United, Jason Wilcox dalam proses membentuk semula skuad selepas musim mengecewakan.
Tumpuan kini untuk mempertajamkan lagi barisan serangan selepas Man United mengaktifkan klausa pelepasan 62.5 juta pound (RM359.6 juta) untuk mendapatkan Matheus Cunha dari Wolves.
Man United yang hanya akan bersaing di pentas domestik musim depan, gagal dalam persaingan menandatangani Liam Delap, Viktor Gyokeres dan Bryan Mbeumo pada jendela perpindahan kali ini.
Menurut laporan media Sepanyol, Red Devils kini sedia mengeluarkan belanja tinggi untuk Raphinha yang di luar jangkaan kelab Catalan berkenaan dan pemain Brazil itu sendiri.
“Angka itu mengejutkan Camp Nou. Tawaran lumayan berkenaan turut tidak dijangka oleh pemain sayap Brazil itu,” menurut laporan itu.
United mengharapkan Raphinha mampu memberi impak seawal hari pertama menyarung jersi Man United berdasarkan pengalamannya di Liga Perdana Inggeris bersama Leeds United.
“Walaupun Barca tidak mudah untuk berpisah dengan pemain yang menjaringkan 34 gol dan membantu 25 lagi dalam 57 perlawanan musim ini, faktor kewangan mungkin memaksa mereka untuk menerima tawaran United,” tambah laporan itu. – AGENSI

