TEHRAN: Iran mengumumkan pihaknya melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar semalam sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS ke atas kemudahan nuklear utama negara itu.
Majlis Keselamatan Negara Iran mengesahkan pangkalan itu menjadi sasaran sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif dan biadab AS terhadap tapak nuklear Iran.
Iran menyatakan jumlah peluru berpandu yang dilancarkan adalah setara dengan bilangan bom yang digunakan AS, menandakan tindak balas yang dikira secara seimbang.
Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump, menyifatkan tindak balas itu sebagai ‘sangat lemah’ dan menggesa konflik dihentikan serta keamanan dikembalikan di rantau berkenaan.
“Iran secara rasmi membalas tindakan ‘penghapusan’ kami terhadap kemudahan nuklear mereka dengan tindak balas yang sangat lemah seperti yang kami jangka dan berjaya tangani dengan berkesan,” kata Trump menerusi platform Truth Social, sambil mengucapkan terima kasih kepada Iran atas notis awal yang membolehkan tiada nyawa terkorban.
Pegawai pertahanan AS juga memaklumkan bahawa tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam serangan yang sudah dimaklumkan lebih awal oleh Iran.
Harga minyak global turut jatuh akibat serangan itu, selepas penganalisis menyifatkan tindakan Iran sebagai ‘agak terkawal’.
Menurut laporan The New York Times, memetik pegawai Iran, menyatakan serangan itu direka untuk “memberi laluan diplomatik kepada semua pihak”, merujuk kepada pendekatan serupa yang pernah diambil Tehran selepas pembunuhan jeneral tertingginya oleh AS pada 2020.
Majlis Keselamatan Negara Iran menegaskan bahawa tindakan itu tidak menimbulkan ancaman kepada negara sahabat dan saudara, Qatar.
Ini berikutan, Arab Saudi, jiran lebih besar dan seteru tradisional Iran, mengecam serangan berkenaan dan menawarkan segala keupayaan untuk menyokong negara sahabat Qatar dalam sebarang langkah yang diambilnya.
Sumber Asal Dari :- Berita Harian

