Ibu izin anak gadis diperkosa teman lelaki dicekup polis

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang wanita kerana didapati membenarkan teman lelaki sendiri memperkosa anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berumur 36 tahun bersama teman lelakinya, seorang peniaga  berusia 61 tahun ditangkap sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di Pandan Indah, Ampang.

Tangkapan itu dibuat selepas anak gadis itu terdengar perbualan telefon antara ibu kandungnya itu dengan lelaki terbabit untuk berjumpa di sebuah hotel di ibu negara atas niat jelik hingga dia ketakutan dan keluar dari rumah.

“Perbualan tersebut menunjukkan niat teman lelaki ibunya mahu merogol dan telah dibenarkan oleh ibu mangsa sendiri.

“Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa pernah dirogol oleh teman lelaki ibunya pada tahun 2024 yang disaksikan oleh ibunya sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam, hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati mereka negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

Katanya, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek itu telah dibenarkan oleh mahkamah selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Julai ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan selepas merujuk kepada perbuatan rogol yang telah dilakukan terhadap mangsa.

Manakala, Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. – MalaysiaGazette