Rakyat desak PM Thailand letak jawatan

BANGKOK – Beribu-ribu penunjuk perasaan telah berhimpun di sini, menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra selepas satu panggilan telefon beliau dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, telah dibocorkan.

Dalam panggilan itu, yang membincangkan insiden terbaru di sempadan kedua-dua negara, beliau memanggil Hun Sen sebagai “pakcik” dan berkata seorang komander tentera Thailand yang mengendalikan pertikaian itu “hanya mahu kelihatan hebat dan berkata perkara tidak berguna”.

Panggilan itu telah mencetuskan kemarahan awam dan satu rakan utama dalam gabungan pemerintahannya telah menarik diri.

Paetongtarn telah memohon maaf tetapi mempertahankan panggilan itu sebagai “teknik rundingan”.

Sebelum berlepas untuk melawat kawasan banjir di utara Thailand, Paetongtarn memberitahu wartawan adalah menjadi “hak rakyat untuk membantah, selagi ia dilakukan secara aman”.

Perhimpunan pada hari Sabtu itu merupakan yang terbesar sejak parti pemerintah Pheu Thai mengambil alih kuasa pada tahun 2023.

Ribuan orang sanggup berhujan dan menutup jalan di tugu peringatan Victory Monument di Bangkok, sambil mengibarkan bendera Thailand dan memegang plakad dengan slogan seperti “PM adalah musuh negara”.

Ketua penunjuk perasaan, Parnthep Pourpongpan berkata, perdana menteri “harus berundur kerana dialah punca masalah”.

Seri Sawangmue, 70 tahun, menaiki bas semalaman dari utara negara untuk menyertai tunjuk perasaan itu.

Beliau memberitahu agensi berita AFP bahawa beliau hadir “untuk melindungi kedaulatan Thailand dan untuk menyatakan bahawa PM tidak layak”.

“Saya telah lalui banyak krisis politik dan saya tahu ke mana arah tuju ini,” tambahnya.

Paetongtarn berkata, beliau tidak akan membuat sebarang panggilan lagi kepada bekas pemimpin Kemboja itu, tetapi Parnthep mendakwa ramai rakyat Thailand merasakan beliau dan ayahnya yang berpengaruh sedang dimanipulasi oleh Hun Sen.

Paetongtarn, 38 tahun, ialah anak perempuan Thaksin Shinawatra, bekas perdana menteri yang digulingkan dan kembali ke Thailand pada Ogos lalu selepas 15 tahun dalam buangan.

Beliau baru sahaja memegang jawatan selama 10 bulan dan merupakan perdana menteri wanita kedua negara itu, selepas ibu saudaranya, Yingluck Shinawatra.

Penunjuk perasaan menuntut agar kepimpinan keluarga Shinawatra ditamatkan.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh “United Force of the Land”, satu gabungan aktivis nasionalis yang telah menentang kerajaan-kerajaan pimpinan keluarga Shinawatra selama lebih dua dekad.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan kepada orang ramai, kumpulan itu berkata, cabang eksekutif dan Parlimen tidak berfungsi “demi kepentingan demokrasi dan raja berperlembagaan”.

Pada hari Selasa, Mahkamah Perlembagaan akan memutuskan sama ada untuk menerima petisyen oleh para senator yang mahu Paetongtarn disingkirkan atas dakwaan ketidakwajaran profesional dalam panggilan dengan Hun Sen.

Hun Sen berkata, beliau telah berkongsi rakaman audio itu dengan 80 ahli politik dan salah seorang daripadanya membocorkannya.

Beliau kemudian memuat naik keseluruhan rakaman selama 17 minit itu ke laman Facebook beliau.

Panggilan itu berkaitan pertikaian terbaru antara Kemboja dan Thailand, yang menyaksikan ketegangan meningkat pada bulan Mei selepas seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran sempadan, menjadikan hubungan kedua-dua negara ke tahap terendah dalam lebih sedekad.

Namun, ketegangan antara kedua-dua negara itu telah bermula sejak lebih satu abad lalu, apabila sempadan ditentukan selepas penjajahan Perancis ke atas Kemboja.

Kedua-dua negara telah mengenakan sekatan sempadan antara satu sama lain, manakala Kemboja telah melarang import dari Thailand termasuk makanan, elektrik, serta rancangan televisyen dan drama.

Walaupun terdapat ketegangan antara negara mereka, hubungan keluarga Shinawatra dengan keluarga Hun telah terjalin sejak beberapa dekad, dan Hun Sen serta bapa Paetongtarn menganggap satu sama lain sebagai “saudara angkat”. – Malaysia Gazette