Arsenal ‘juara’ bayar gaji pemain cedera

LONDON: Arsenal mencatat jumlah bayaran tertinggi kepada pemain yang cedera sepanjang musim 2024-25, dengan jumlah keseluruhan mencecah 35 juta pound (RM210 juta), tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut data dikumpulkan oleh laman pertaruhan sukan Footy Accumulators, angka itu diperoleh berdasarkan gabungan maklumat kecederaan daripada laman Transfermarkt dan data gaji Capology, dengan tumpuan kepada tempoh kecederaan dan gaji mingguan pemain terbabit.

Antara pemain utama The Gunners yang berada dalam senarai kecederaan sepanjang musim lalu termasuk Martin Odegaard, Bukayo Saka, Gabriel Jesus, Kai Havertz, Declan Rice, Raheem Sterling dan Oleksandr Zinchenko.

Manchester City berada di tempat kedua dengan bayaran gaji kepada pemain cedera sebanyak 33 juta pound (RM198 juta), diikuti Manchester United, yang membayar sekitar 25 juta pound (RM150 juta).

Juara EPL musim lalu, Liverpool, hanya membelanjakan sekitar 12 juta pound (RM72 juta) kepada pemain yang tercedera, manakala Tottenham Hotspur yang menjuarai Liga Europa musim lalu turut tersenarai dengan jumlah 18 juta pound (RM108 juta).

Senarai kelab lain termasuk Chelsea (RM102 juta), Brighton (RM84 juta), Newcastle United (RM78 juta), Aston Villa (RM60 juta) dan Everton (RM54 juta).

Jurucakap Footy Accumulators dalam kenyataan berkata: “Kajian kami mendedahkan jumlah yang mengejutkan dibayar kelab-kelab EPL kepada pemain yang diketepikan akibat kecederaan sepanjang musim lalu.”

Meskipun prestasi Arsenal meningkat di bawah Mikel Arteta, isu kecederaan pemain utama menjadi salah satu faktor kegagalan mereka menjulang trofi utama, termasuk trofi liga domestik yang dimenangi Liverpool musim lalu.