NEW DELHI: Ibu kota India semalam melaksanakan larangan penjualan bahan api kepada kenderaan lama dalam usaha menangani pencemaran udara yang sudah mencapai tahap berbahaya di bandar raya itu.
New Delhi sering disenaraikan sebagai salah satu ibu kota paling tercemar di dunia, dengan kabus beracun yang menyelubungi ruang udaranya setiap musim sejuk.
Ketika kemuncak pencemaran, paras zarah PM2.5 iaitu zarah halus penyebab kanser yang cukup kecil untuk memasuki aliran darah melalui paru-paru, boleh meningkat lebih 60 kali ganda daripada paras harian maksimum yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kereta petrol berusia lebih 15 tahun dan kenderaan diesel berusia lebih 10 tahun sudah diharamkan daripada beroperasi di jalan raya New Delhi melalui keputusan Mahkamah Agung pada 2018, namun ia masih dilanggar.
Menurut angka rasmi, lebih enam juta kenderaan seperti itu masih digunakan di jalan-jalan di ibu kota.
Larangan yang berkuat kuasa semalam itu bertujuan memastikan kenderaan usang tidak terus digunakan, dengan menghalang mereka daripada mengisi bahan api.
Polis dan kakitangan majlis perbandaran dikerahkan ke stesen minyak di seluruh Delhi, di mana kamera mengecam nombor kenderaan dan pembesar suara dipasang.
Seorang anggota polis trafik yang ditempatkan di salah satu stesen minyak di bandar itu berkata, mereka diarahkan untuk menghubungi peniaga besi buruk jika kenderaan seperti itu datang.
Mulai November ini, larangan berkenaan akan diperluaskan ke bandar-bandar satelit di sekitar ibu kota, iaitu kawasan yang dihuni lebih 32 juta orang.
Satu kajian dalam jurnal perubatan The Lancet mengaitkan 1.67 juta kematian pramatang di India pada 2019 kepada pencemaran udara.
Setiap musim sejuk, pelepasan dari kenderaan dan kilang bergabung dengan pembakaran sisa pertanian dari negeri-negeri sekeliling, menyelubungi bandar dalam kabus beracun yang menyeramkan.
Suhu yang lebih sejuk dan tiupan angin perlahan memburukkan keadaan dengan memerangkap pencemar maut itu.
Pelbagai inisiatif kerajaan dilakukan setakat ini, termasuk sekatan separa ke atas pengangkutan berasaskan bahan api fosil dan lori air yang menyembur kabus untuk mengurangkan zarah halus di udara.
Bagaimanapun inisiatif itu masih gagal memberikan kesan yang ketara. – AFP

