Penjawat awam, pesara dituduh terima suapan masuk nama lot tanah kerajaan

TAWAU: Seorang penjawat awam dan seorang pesara kerajaan negeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah urusan permohonan dan bancian tanah kerajaan tujuh tahun lalu.

Tertuduh Smith A Lewas @ Simon, 56, dan Lusiwoi Kisa, 62, bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, Smith sebagai penjawat awam negeri iaitu Juruteknik Gred J17 di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Kunak secara rasuah cuba memperoleh bagi diri sendiri suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM54,000.00 daripada Goefle Joseph, 39.

Ia sebagai dorongan untuk melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya untuk memproses permohonan tanah baru setelah bancian setiap lot tanah Skim Pekebun-Pekebun Kecil Madai Baturong (SPPKMB) Kunak dilakukan bagi lot Goefle Joseph serta 26 peserta yang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah studio di daerah Kunak kira-kira jam 8 malam pada Mei 2016.

Sementara itu, Lusiwoi yang juga pesara Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh bagi diri sendiri suatu suapan iaitu, wang tunai sebanyak RM12,000.00 daripada Cornilius Jomol @ Terence, 71.

Ia sebagai dorongan untuk melakukan bancian lot yang di masukkan atas nama kumpulan Cornilius Jomol @ Terence bersama 16 peserta lain sedangkan mereka waktu itu tiada lagi lot untuk dibanci dan permohonan tanah di SKPPKMB Kunak.

Lusiwoi yang ketika itu sebagai Pembantu Tadbir N17 yang bertugas di Bahagian Penguatkuasa, JTU Kota Kinabalu didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar bandar Lahad Datu pada Jun 2016.

Bagi kesalahan itu kedua-dua tertuduh masing-masing berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili Peguam Vivien Thien dan Jhassery P. Kang.

Terdahulu Nurul Izzati menawarkan jaminan masing-masing RM8000 dan RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan kepada kedua-dua tertuduh dengan syarat tambahan termasuk dikehendaki melapor diri kepada SPRM sekali dalam tempoh dua bulan, pasport diserahkan kepada Mahkamah selain dilarang mendekati atau mengganggu saksi-saksi pendakwaan sebelum dan semasa perbicaraan.

Jason kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dan RM6000 bersama seorang penjamin tempatanberserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 11 September ini untuk sebutan semula kes.