JDT sasar beraksi di Piala Dunia Kelab

KUALA LUMPUR: Gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki sasaran yang tinggi apabila mahu merebut slot untuk beraksi di Piala Dunia Kelab Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada satu hari nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia dalam satu kenyataan menjelaskan impian itu tidak mustahil untuk digapai sekiranya mereka terus memperaga peningkatan demi peningkatan setiap kali beraksi di pertandingan bertaraf benua khususnya menerusi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

“Berdasarkan kemungkinan pengembangan bilangan penyertaan di Piala Dunia Kelab FIFA yang akan membuka lebih banyak slot untuk pasukan-pasukan Asia yang bukan hanya terhad kepada juara ACLE, JDT meletakkan sasaran untuk mara secara konsisten ke peringkat lebih jauh di ACLE agar memperbaiki ranking kelab Asia dan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mewakili Malaysia di pentas tertinggi bola sepak kelab dunia.

“Merealisasikan sasaran ini bukanlah tugas yang mudah — standard bola sepak di Asia sangat tinggi. Kami tidak boleh leka sekiranya JDT mahu berjaya dalam misi yang besar ini.

“Pemain baharu yang kami bawa masuk untuk musim 2025-26 selari dengan hala tuju ini, dan kejayaan JDT di peringkat Asia pastinya juga akan menjadi kejayaan untuk bola sepak Malaysia,” kata Garcia.

Sebagai rekod, empat pasukan dari Asia beraksi di Piala Dunia Kelab FIFA yang sedang berlangsung ketika ini iaitu Urawa Red Diamonds, Al-Hilal, Ulsan HD dan Al-Ain.

Namun hanya Al-Hilal yang mencipta kejutan apabila berjaya mengesahkan slot ke suku akhir dan akan berdepan wakil Brazil, Fluminense, awal pagi Sabtu.

Dalam masa sama, Garcia juga menegaskan pasukan itu akan berusaha memenuhi ‘selera’ pemilik pasukan, Tunku Mahkota Ismail yang menitahkan supaya Harimau Selatan memaksimumkan potensi dan berbangga mengibarkan bendera Johor dan Malaysia lebih tinggi di persada antarabangsa baik di dalam mahupun di luar padang.

Tegasnya, selaku penyumbang utama dalam mata ranking Ahli Gabungan (MA) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), mereka bukan sahaja perlu mengekalkan prestasi tetapi perlu mensasarkan yang lebih tinggi lagi untuk tahun mendatang.

“Selaku satu-satunya wakil dari Malaysia ACLE sejak 2019, JDT sudah menyumbangkan majoriti mata ranking ‘AFC Member Association’, membolehkan lebih banyak kelab Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan kelab Asia.

“Untuk terus maju, kami bukan sahaja perlu mengekalkan prestasi tetapi mensasarkan yang lebih tinggi untuk tahun-tahun akan datang, sekaligus melonjakkan lagi bola sepak Malaysia dengan membolehkan lebih banyak kelab Malaysia layak ke pentas Asia,” katanya.