KPM, SPP berjaya laksana reformasi tangani kekurangan guru – Fadhlina

Fadhlina (tengah) hadir pada Istiadat Konvokesyen ke-15 Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia di Bangi pada Khamis. – Foto Astro AWANI

BANGI: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) berjaya melaksana reformasi ke arah memastikan isu kekurangan guru di negara ini dinoktahkan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kejayaan itu disifatkan pertama kali dicapai dalam sejarah pentadbiran pendidikan di negara ini.

“Tiada lagi isu berkaitan dengan kekurangan guru di Malaysia dan kita telah menoktahkan ke arah itu dengan pelbagai mekanisme.

“Ini khususnya memastikan guru-guru yang kita hantar juga berkualiti dan dapat memenuhi keperluan anak-anak didik kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Istiadat Konvokesyen ke-15 Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia di Bangi pada Khamis.

Ucap beliau lagi, usaha Kementeriannya bukan sekadar menambah bilangan guru tetapi menekankan aspek kualiti dan kesesuaian penempatan guru sekolah di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan permohonan masuk ke IPG terus mencatatkan peningkatan setiap tahun sekali gus menunjukkan keinginan yang tinggi bergelar pendidik.

“Saya sangat terharu dengan sokongan khususnya memperlihatkan ibu-bapa terus memberikan keyakinan mereka bahawa memilih menjadi guru bukan sekadar pekerjaan tetapi jauh lebih daripada itu.

“Kita tidak mahu melihat guru ini semata-mata sebagai karier tetapi yang masuk lulus temu duga seterusnya menjadi guru dan dilatih. Ini adalah mereka yang benar- benar mempunyai nyala rasa sebagai guru,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa usaha penambahbaikan akan diteruskan secara berterusan bagi mengekalkan keberkesanan sistem penempatan guru di seluruh negara.

Reformasi tersebut hadir ketika KPM turut merancang pelaksanaan pelan pembangunan pendidikan baharu serta kurikulum yang diperbaharui menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, seramai 5,390 orang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ambilan Jun 2021 tamat pengajian dalam istiadat konvokesyen ini.

ASTRO AWANI