ALOR GAJAH – Seorang bayi perempuan berusia setahun maut dipercayai dibunuh ibu dan teman lelakinya dengan kesan kecederaan di lubang dubur di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini malam tadi.
Kejadian terbongkar kira-kira 11 malam tadi selepas pihak Hospital Tampin menerima bayi berusia 15 bulan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dihantar ibu kandungnya berusia 24 tahun.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan doktor turut turut mendapati terdapat kesan lebam pada perut dan belakang badan bayi berkenaan selain kecederaan pada lubang dubur sebelum membuat laporan polis.
“Siasatan awal mendapati ibu mangsa berusia 24 tahun telah membawa anak tunggalnya itu dari Kampung Anak Air Durian Daun, Tampin ke tempat kerja teman lelakinya berusia 20 tahun di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini kira-kira 6.30 petang semalam.
“Ibunya kemudian keluar untuk membungkus makanan meninggalkan kekasihnya itu yang juga seorang pemain muzik bersama anak tunggalnya itu hasil perkahwinan terdahulu,” katanya.
Menurutnya, sebaik pulang ke kedai, pasangan kekasih itu malam bersama dan wanita itu memberitahu telah menidurkan bayinya pada pukul 10 malam sementaranya teman lelakinya menguruskan kedai.
“Bagaimanapun, suspek yang sudah bercerai tahun lalu mendakwa anaknya itu tidak sedarkan diri ketika dia mengejutnya pada pukul 10.30 malam untuk pulang ke rumah mereka di Tampin
“Wanita itu dan kekasihnya kemudian telah membawa anaknya itu ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan pada pukul 11 malam tadi,” katanya.
Tambahnya, doktor yang melakukan pemeriksaan kemudian mengesahkan kecederaan dialami bayi dan telah meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas itu.
Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk proses bedah siasat.
Susulan itu, polis menahan pasangan kekasih itu malam tadi dan akan direman di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh. – Malaysiatazete

