Tanah rizab Melayu diambil untuk pembangunan diganti ikut saiz, nilai – MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan tanah rizab Melayu yang diambil kerajaan bagi tujuan pembangunan akan diganti mengikut keluasan dan nilai hartanah.

Katanya, terdapat sesetengah gantian menerima tapak lebih besar berbanding ukuran asal dengan mengambil kira nilaian ditetapkan selaras dasar terkini selepas 2016.

“Untuk dapatkan nilai tepat terhadap gantian berkenaan, kadang-kadang ada sedikit perubahan, ada yang kekurangan, ada lebih, tetapi dasar kita memang akan gantikan dengan jumlah lebih.

“Kalau ambil empat ekar tanah, kita ganti 4.5 ekar, malah sehingga enam, tujuh ekar. Ini memang dasar secara lazim dilaksanakan kerana kita ambil kira faktor nilai dan tuntutan pembangunan demi lindungi kepentingan Bumiputera.

“Ia sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan negeri dan Persekutuan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ab Halim Tamuri (PN-Paya Jaras) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan pembatalan warta tanah rizab Melayu hanya untuk menjalankan projek pembangunan negara dan infrastruktur demi kemudahan serta manfaat rakyat.

“Macam Loji Rawatan Air Sungai Rasau, kita batalkan beberapa lot. Lebuhraya Pantai Barat (WCE) juga buat beberapa pembatalan. Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga, yang membabitkan beberapa jajaran rel.

“Keutamaan kita batalkan warta ialah projek kerajaan dan infrastruktur yang memerlukan dan sangat strategik untuk dilaksanakan. Macam tanah rizab Melayu di Sungai Way. Kita batalkan untuk membangunkan kawasan strategik baharu seperti kawasan perindustrian,” katanya.

Katanya, melalui dasar terkini, khususnya selepas 2016, pentadbirannya menetapkan pengambilan tanah rizab Melayu perlu diganti dengan segera bersekali dengan proses pembatalan.