25 kertas siasatan berkait GISBH siap, sedia untuk pendakwaan di Selangor – EXCO Agama

SHAH ALAM: Pihak berkuasa sudah melengkapkan 25 kertas siasatan berkait GISB Holdings (GISBH), termasuk melanggar fatwa ajaran sesat.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata kes akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan susulan.

“Kita ada 25 kertas siasatan yang sudah sedia diangkat untuk pendakwaan bagi GISBH. Tunggulah,” katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan, JAIS menahan 108 individu yang disyaki terbabit dengan GISBH dengan kebanyakan kes melibatkan Seksyen 12 (c ) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor, iaitu fatwa yang dikuatkuasakan Oktober lalu berhubung organisasi itu.

Fatwa berkenaan menetapkan sebarang fahaman, ajaran dan amalan oleh pengikut, pekerja atau ahli serta kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH dan rangkaiannya adalah haram.

Sementara itu, Mohammad Fahmi memaklumkan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedang memperhalusi ruang undang-undang terhadap tindakan ke atas pertubuhan melanggar fatwa susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan SIS Forum (Malaysia) sebelum ini.

“Sekarang ini, memang (ke atas) individu, kita boleh laksanakan (ambil tindakan) sebab fatwa itu masih sah, cuma (tidak boleh) ke atas pertubuhan atau persatuan. Kalau tak, mereka (individu) akan menyorok di bawah benda sebegitu (pertubuhan atau persatuan).

“Jadi, MAIS sedang melihat kaedah perundangan yang ada. Namun, saya rasa titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (berkait penggunaan nama Islam dalam pertubuhan didapati menyeleweng ajaran Islam), perkara yang sangat kita ambil berat.

“Kalau ia memerlukan pindaan Rang Undang-Undang atau enakmen yang baharu berkaitannya, kita angkat ke DUN, tiada masalah,” katanya menambah, susulan kes SIS Forum, perkara yang perlu difahami dan dipelajari adalah mengelak berlaku pertindihan dengan akta Persekutuan.

Bagi tujuan itu, katanya, ada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam bagi memastikan ia tidak bertindan.

“Kedua, bila sebut soal realiti seperti fatwa kepada pertubuhan, boleh atau tidak. Sebenarnya, pertubuhan itu adalah pertubuhan, logiknya begitulah. Yang kita nak tangkap itu pengikut atau penyebar dalam pertubuhan itu. Mereka belum terlepas dan boleh dikuatkuasakan fatwa berkenaan,” katanya.