EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Pasukan muda Chelsea menyasarkan tempat di final Piala Dunia Kelab apabila mereka bertemu Fluminense pada separuh akhir awal pagi Rabu ini, dengan kelab Brazil itu diketuai bekas pertahanan The Blues, Thiago Silva, yang masih mantap beraksi pada usia 40 tahun.
Silva sudahpun bergelar pemain veteran ketika menyertai Chelsea pada tahun 2020, sebelum mencatat tempoh empat tahun yang mengagumkan di Stamford Bridge.
Sebagai salah seorang pertahanan tengah terbaik generasinya, Silva tiba selepas lapan tahun bersama Paris Saint-Germain dan merangkul gelaran Liga Juara-Juara pada musim pertamanya bersama Chelsea.
Dia beraksi sebanyak 155 perlawanan bersama kelab London itu dan meninggalkan pasukan 12 bulan lalu selepas membantu memupuk bakat muda yang kini menjadi pemain utama di bawah kendalian Enzo Maresca.
“Dia adalah legenda bola sepak, pemain bertaraf dunia,” kata Marc Cucurella, rakan sepasukan Silva selama dua tahun kepada media Inggeris sambil menambah mereka sudah bertukar mesej mengenai pertemuan semula itu.

“Kami berpeluang bermain menentangnya lagi dan mudah-mudahan kami boleh beraksi dengan baik, menang perlawanan ini dan layak ke final.”
Silva mula mencipta nama di Fluminense, bermain dalam skuad yang mara ke final Copa Libertadores pada 2008 sebelum tewas kepada LDU Quito dari Ecuador.
Dia kembali ke sana selepas meninggalkan Chelsea, sekali lagi menyarung jersi hijau, merah dan putih pasukan Rio de Janeiro yang memenangi Copa Libertadores pada 2023.
Pemain kebangsaan Brazil yang tidak pernah pudar itu turut kembali berganding dengan Renato Gaucho awal tahun ini, jurulatih yang pernah membimbingnya pada 2008 dan kini dalam penggal keenamnya bersama kelab itu.
Prestasi mengagumkan pada Piala Dunia Kelab menyaksikan Fluminense terikat dengan Borussia Dortmund di peringkat kumpulan, menyingkirkan Inter Milan pada pusingan 16 terakhir sebelum menewaskan kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal pada suku akhir.

“Jika anda tanya saya sebelum ini sama ada kami akan sampai sejauh ini, saya akan kata kami jauh daripada mampu melakukannya,” kata Silva kepada badan penyiar DAZN selepas kemenangan ke atas Al-Hilal.
“Kami tahu saiz kewangan pasukan ini, bezanya amat besar, amat luar biasa. Tetapi selalunya semangat berpasukan kami, suasana seperti keluarga yang ada di sini, memberi kami kekuatan yang mungkin anda tidak jangkakan.”
Bukan hanya Silva yang meningkatkan purata umur Fluminense. Turut menyertai adalah penjaga gol Fabio yang berusia 44 tahun, pemain sayap Samuel Xavier berusia 35 tahun dan penyerang Argentina, German Cano berumur 37 tahun.
Namun pemain yang benar-benar memberi nilai tambah adalah pemain sayap Colombia berusia 27 tahun, Jhon Arias, yang jelas menjadi salah seorang pemain terbaik kejohanan.
“Saya menonton beberapa perlawanan mereka dan anda boleh lihat mereka amat tersusun. Mereka ada beberapa pemain yang berkualiti tinggi. Pengurus mereka sudah melakukan tugas yang hebat,” kata Maresca ketika bersiap sedia menentang pasukan Brazil buat kali ketiga pada kejohanan ini.
Chelsea tewas kepada Flamengo di peringkat kumpulan tetapi berjaya menyingkirkan Palmeiras pada suku akhir di Philadelphia. – AFP

