Nafi terlibat ajaran sesat, eHATI ambil tindakan perundangan kepada penyebar fitnah

KUALA LUMPUR – Pihak eHATI kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat terhadapnya.

Pengasas eHATI, Diyana Tahir berkata, selain menjejaskan reputasi, penyebaran hantaran berunsur fitnah itu turut mencemarkan nama baik keluarga mereka.

“Kami sangat terkesan secara emosi dan mengalami tekanan mental yang mendalam akibat penyebaran maklumat tidak berasas ini.

“Serangan terbuka dan tidak bertanggungjawab ini turut mencemarkan nama baik keluarga kami,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Menurut beliau, eHATI adalah miliknya bersama Rahim Shukor dan tidak melibatkan ahli keluarganya yang lain.

Penyebaran hantaran yang sama, katanya, menyebabkan ibunya juga mengalami tekanan dan semalam telah meninggal dunia.

Pihaknya juga menafikan eHATI ada sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik.

Pada 12 Julai lalu, pihaknya telah membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan bersedia memberi Kerjasama sepenuhnya membantu siasatan.

Sebelum itu, beberapa hantaran dimuatnaik melalui akaun Masyitah Ashari didakwa mengandungi dakwaan tidak tepat dan boleh menimbulkan fitnah terhadapnya dan eHATI.

Terdahulu, Diyana memaklumkan pihaknya pengamal bertauliah dalam bidang hipnoterapi dan setiap program mematuhi standard etika profesional serta selari dengan nilai budaya dan agama.

Ia termasuk program memulihkan trauma yang telah lama tersimpan melalui pendekatan seperti Neuro-Lingustic Programming (NLP).

“Ada juga program kami membantu wanita yang sudah berkahwin dan mungkin sedang menghadapi cabaran dalam hubungan suami isteri termasuk kekeliruan tentang tubuh sendiri atau persediaan emosi dan fizikal sebelum dan ketika bersama pasangan.

“Namun modul ini tidak dibuka kepada umum dan hanya ditawarkan secara tertutup kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja,” katanya.

Menurutnya, dakwaan programnya memusatkan kehidupan kepada ‘diri sendiri’ sepenuhnya juga tidak benar.

Malah pihaknya tidak pernah menggalakkan pesertanya supaya tidak berkahwin dan tidak bersuami.

Berkenaan dakwaan pihaknya telah mengajar kaedah urutan falsafah Tantra, ia sebenarnya gabungan pelvic floor massage dan juga Thai Massage di mana kaedah itu diolah agar bersesuaian dengan nilai tempatan dan melibatkan unsur atau ritual agama lain.

“Ia juga adalah modul pilihan dan peserta kami tidak diwajibkan untuk mengikutinya,” ujarnya.

Mengenai minuman Piya, pihaknya menjelaskan, ia hanya campuran koko asli, madu dan rempah semula jadi yang dirumus untuk membantu menenangkan fikiran dan tubuh badan.

“Minuman ini langsung tidak mengandungi bahan terlarang atau ‘cendawan ajaib’ seperti didakwa,” tegasnya.

Pihaknya juga menafikan tuduhan membawa peserta ke Bali, Indonesia untuk menyebarkan ajaran sesat.

Dalam pada itu, Diyana juga menyatakan pihaknya pada November 2022 telah memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pihaknya juga mematuhi saranan JAIS untuk menyertakan satu disclaimer kepada para peserta.

Malah Diyana menegaskan, pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan dalam kalangan para pesertanya dan siasatan rasmi dibuat terhadapnya.

“Kenyataan media yang dikeluarkan hanyalah berpandukan hantaran yang telah tular yang tidak dapat dikenal pasti pemilik sebenar akaun tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette