Sah wujud adegan bogel Queen Night dalam program motivasi eHATI – Hussein

SHAH ALAM – Polis mengesahkan wujud aktiviti berbogel semasa sesi tertutup khas dikenali sebagai Queens Night dalam program motivasi eHATI di Pusat Konvensyen IDCC di sini pada September 2024.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati program tersebut menawarkan dua pakej kepada peserta dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM9,000 termasuk Queens Night.

“Sehingga kini hasil siasatan mendapati memang ada aktiviti  berbogel yang berlaku dalam majlis itu sekurang-kurangnya melibatkan empat individu.

“Difahamkan, mereka melakukan adegan itu merupakan sebahagian daripada acara yang dipanggil ‘rebirth’ kononnya untuk menaikkan motivasi diri dalam Queens Night.

“Mereka turut menawarkan pakej A dan pakej B yang mana menawarkan bayaran lebih (mahal) termasuk penginapan empat hari tiga malam dan diakhiri dengan Queens Night,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Hussein turut memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti 50 peserta yang menyertai program itu menerusi senarai nama yang diperoleh dan mereka diminta tampil bagi memberi keterangan.

“Kita sudah ada semua senarai nama peserta itu dan diminta hadir memberi keterangan, sekiranya gagal tindakan lebih keras akan dikenakan termasuk tangkapan.

“Setakat ini kita telah merakam keterangan seramai 30 individu termasuk penganjur, fasiltator dan juga peserta yang menyertai program tersebut.

“Malah pemeriksaan juga mendapati program ini tidak hanya menfokuskan individu beragama Islam sahaja sebaliknya ia dianjuran kepada semua khusus untuk wanita,” jelasnya.

Tambah Hussein, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk beberapa cecair yang dipercayai digunakan sebagai minuman dalam program itu.

Katanya, polis sudah menghantar kandungan cecair yang dirampas kepada Jabatan Kimia bagi mengenal pasti sama ada ia mengandungi dadah atau lain-lain bahan terlarang.

“Kita juga kesan terdapat peserta terdapat dari kalangan profesional, penjawat awam yang menyertai program ini, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan beri kami ruang,” ujarnya.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan; Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pada masa sama, Hussein memaklumkan ia merupakan kali pertama polis membuka kertas siasatan ke atas program berkenaan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti latar belakang pengasas dan status kelayakan mereka. Polis memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan secara terperinci dan akan mengumumkan perkembangan selanjutnya dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi rumah tangga (eHATI) termasuk anak perempuannya  antara enam individu berusia 26 hingga 57 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman bermula 16 Julai sehingga 18 Julai dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas kesemua suspek melibatkan empat wanita dan dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. – MalaysiaGazette