KUALA LUMPUR – Sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya semasa mengumumkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia hari ini.
Menurut Anwar, ikhtiar itu dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
“Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025 – dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
“Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini. Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

