SYDNEY: Menteri Pertahanan, Richard Marles hari ini mengumumkan naik taraf pasukan tentera laut Australia dengan membeli 11 kapal tentera frigat kelas Mogami yang dibina oleh Mitsubishi Heavy Industries dari Jepun.
Australia ketika ini sedang melaksanakan penstrukturan semula ketenteraan secara besar-besaran sejak mengumumkannya pada 2023, dengan menumpukan kepada keupayaan serangan jarak jauh bagi menghadapi kekuatan angkatan laut China.
Negara itu bercadang untuk menambah bilangan kapal perang utamanya daripada 11 kepada 26 dalam tempoh 10 tahun akan datang.”Ini merupakan perjanjian industri pertahanan terbesar yang pernah dimeterai antara Jepun dan Australia,” kata Marles, merujuk kepada perjanjian bernilai AS$6 bilion (AUS$10 bilion/RM28.2 bilion).
Mitsubishi Heavy Industries berjaya memperoleh tender itu, mengatasi syarikat Jerman, ThyssenKrupp Marine Systems.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan keupayaan terbaik untuk Australia.PlayNextMute
“Kita memang mempunyai penjajaran strategik yang sangat rapat dengan Jepun,” kata Marles.
Frigat kelas Mogami adalah kapal perang canggih yang dilengkapi pelbagai jenis senjata berkuasa tinggi.
Marles berkata, kapal-kapal ini akan menggantikan armada kapal Anzac milik Australia yang sudah usang, dengan kapal pertama kelas Mogami dijangka beroperasi menjelang tahun 2030.
“Frigat kelas Mogami ialah frigat terbaik untuk Australia.
“Ia adalah kapal generasi baharu. Ia bersifat tidak dikesan dan mempunyai 32 sel pelancar menegak yang mampu melancarkan peluru berpandu jarak jauh ,” kata Marles.
Menteri Industri Pertahanan, Pat Conroy, berkata kapal itu mampu melancarkan peluru berpandu jelajah Tomahawk jarak jauh.
“Perolehan kapal ini akan menjadikan angkatan laut kita lebih besar dan lebih berbahaya,” katanya.
Kata Conroy, tiga kapal pertama kelas Mogami akan dibina di luar negara manakala limbungan kapal di Australia Barat dijangka akan membina baki kapal lain.
Australia sebelum ini mengumumkan perjanjian pada 2021 untuk memperoleh kapal selam berkuasa nuklear reka bentuk Amerika Syarikat (AS), sekaligus membatalkan rancangan selama bertahun-tahun untuk membangunkan kapal selam bukan nuklear dari Perancis.
Di bawah pakatan tiga hala AUKUS bersama AS dan United Kingdom (UK), tentera laut Australia merancang untuk memperoleh sekurang-kurangnya tiga kapal selam kelas Virginia dalam tempoh 15 tahun.
Menurut unjuran kerajaan Australia, dalam tempoh 30 tahun akan datang, Program kapal selam AUKUS sahaja dijangka mampu menelan belanja sehingga AS$235 bilion (RM RM1.1 trilion), angka yang mencetuskan kritikan terhadap strategi berkenaan.
Projek pertahanan utama di Australia sering berdepan masalah seperti kos melebihi bajet, perubahan dasar kerajaan, pembatalan rancangan, dan projek yang lebih berorientasikan penciptaan pekerjaan tempatan berbanding keperluan ketenteraan sebenar.
Australia merancang untuk menaikkan perbelanjaan pertahanannya secara beransur-ansur kepada 2.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) – melebihi sasaran 2 peratus yang ditetapkan oleh sekutu NATO, namun ia juga masih jauh daripada tuntutan AS iaitu 3.5 peratus.

